Friday, March 13, 2009

Stand Together (Bab 5)

BAB 5




"Mak ai labuhnya tudung kau Qis."

Qistina mendongak lalu menghentikan suapan nasi lemak apabila suara yang tenggelam timbul dalam kebisingan kafeteria itu menyapa telinganya. Tudung yang dipakai ditarik - tarik dengan sebelah tangan sebagai respons kepada sapaan gadis itu yang padanya sarat berunsur sindiran. Melihat mukanya yang berkerut seribu, gadis berbaju kurung hijau muda yang menegurnya tadi tergelak kecil lalu mengambil tempat duduk yang baru sahaja dikosongkan oleh Qalif sebentar tadi.

Keadaan di kafeteria pada waktu - waktu sebegini memang agak sibuk. Cuma, jika hendak dibandingkan dengan hari - hari yang lain, hari ini boleh dikategorikan sebagai agak lengang kerana terdapat ramai pelajar yang masih belum kembali ke kolej selepas menikmati cuti hujung minggu. Qistina merupakan antara pelajar malang yang tidak mendapat peluang itu.

"Kan? Nak tunggu aku pakai macam ni memang taklah. Bapak panas."

Syamsiah menggangguk sebagai mengiakan kata - kata Qistina. Dia sendiri tidak faham bagaimana gadis yang mengenakan tudung labuh seperti yang dipakai oleh Qistina mampu menahan bahang matahari terik khatulistiwa dengan pakaian yang berbungkus litup seperti itu. Baginya, mereka tidak boleh terlalu ekstrem dalam beragama.

"Kau jumpa siapa tadi?" Syamsiah segera menukar topik.

"Kenapa? Dah terpikat?" soal Qistina dengan suara acuh tak acuh. Nasi lemak yang dikirim ibunya sudah tinggal separuh.

"Handsome. Kalau aku, ada chance tak?"

Qistina terbatuk apabila nasi yang baru ditelan tiba - tiba tersekat di kerongkongnya. Dengan air mata yang sudah mula bertakung di pelupuk mata, Qistina segera mencapai air yang disuakan Syamsiah lalu diteguknya rakus. Sebaik sahaja batuknya mulai beransur reda, dia memandang wajah Syamsiah seolah - olah kawannya itu baru sahaja mengucapkan sesuatu yang paling tidak masuk akal yang pernah didengarinya.

"Mamat yang tadi tu? Serius?"

Syamsiah mengangguk sambil tersengih nakal.

"Sorry to disappoint. Abang aku dah berpunya. Tunggu masa je nak bina masjid," jelas Qistina dengan nada yang kurang senang. Jujur dia akui dia tidak selesa bercakap tentang abangnya seperti ini. Sebelum ini dia pernah mempunyai pengalaman menjawab soalan kawan - kawan dan senior sekolah lamanya yang meminati Qalif namun perkara itu dirasakan agak janggal kerana seumur hidupnya dia tidak pernah melihat Qalif sebagai seorang lelaki yang sepertimana lelaki lain, juga mempunyai potensi untuk menjadi suaminya. Baginya, Qalif hanyalah seorang abang. Tidak lebih daripada itu.

"Eleh, baru nak bina. Bukan dah bina. Yang dah kahwin pun boleh bercerai, apatah lagi yang tak ada apa - apa hubungan yang sah."

Qistina diam tidak memberikan sebarang respons. Jauh di sudut hatinya, dia tahu dan yakin Qalif bukan seperti lelaki yang di gambarkan Syamsiah. Lagipun, Qistina sendiri memang tidak setuju jika abangnya tiba - tiba berubah hati lalu meninggalkan Zulaikha. Dia sebenarnya sudah lama terpikat dengan kesopanan dan kecerdikan bakal kakak iparnya itu.

"Kau ni takde kelas ke?"soal Qistina sambil mencapai telefon bimbit miliknya daripada poket jubah yang dipakai. Matanya sedikit terbeliak apabila melihat jarum jam yang sudah menghampiri angka sembilan.

"On the way nak pergilah ni. Kau takde kelas ke hari ni?"

"Pukul sembilan."

Selesai makan, Qistina bergegas ke bilik. Tepat pukul sembilan dia bergerak ke kelas dengan mengenakan baju kurung dan tudung biru laut yang dihadiahkan ibunya raya lepas. Tidak banyak yang dipelajari pada hari pertama kerana kebanyakan daripada pelajar kelasnya masih tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk kerja - kerja melukis. Qistina boleh dikira bertuah kerana Qalif telah meminta bantuan seorang kawan yang juga mengambil jurusan seni bina untuk mendapatkan alat - alat melukis terpakai dengan harga yang rendah. Tanpa bantuan Qalif, Qistina yakin hidupnya di sini pasti tidak akan menjadi semudah ini.

Nak diharapkan Qusyairy, jauh sekali. Abangnya yang satu itu lebih mewarisi sikap ibu mereka yang tidak suka mengambil tahu hal orang di sekeliling. Mungkin itu adalah antara punca kerenggangan mereka. Manakan tidak, walaupun mereka sekarang sedang belajar di tempat yang sama, Qusyairy langsung tidak pernah datang bertanya khabar, apatah lagi menjenguk untuk mengetahui keadaannya. Dari segi layanan yang diberikan terhadapnya, Qusyairy dan Qalif boleh diibaratkan seperti langit dengan bumi.

Kelas bersambung lagi selepas makan tengah hari. Menjelang petang Qistina sudah berjaya membentuk kelompok kawan - kawannya sendiri.

"Kelas okay tak?"

Qistina mengalihkan pandangan daripada watak kartun yang sedang dilakarnya ke muka Safiyyah yang sedang tersenyum ceria memandangnya. Pandangan skeptik dihalakan ke wajah bulat gadis itu. Gadis yang seorang ini memang sentiasa mempunyai mood yang baik seolah - olah dia tidak pernah dibebani dengan apa - apa masalah pun. Menyedari ketidakupayaannya dalam menentukan niat sebenar Safiyyah bertanyakan soalan itu, Qistina tunduk kembali untuk membetulkan bentuk wajah karakternya yang kelihatan terlalu cengkung.

"Yeah. Kenapa?"

"Saja. Tak boleh ke saya nak ambil berat pasal roommate sendiri?"

Qistina mengangkat bahu. Pemadam getah yang berada di sisi dicapainya untuk memadam tangan karakter yang dilukis terlampau panjang bagi seorang manusia. Fokusnya terganggu apabila diajak berbual dan melukis dalam masa yang sama.

"Eh, boleh. Silakan. Tanyalah lagi. Aku memang suka jawab soalan pointless macam ni."

Mendengan balasan Qistina, Safiyyah tergelak kecil.Tangannya secara automatik digunakan untuk menutup mulut agar gelak ketawanya tidak mengganggu orang lain.

"Maafkan saya. Saya takde niat nak ganggu awak. Kami nak turun makan kejap lagi. Awak nak apa - apa ke? Saya boleh tolong belikan. Atau awak nak turun sekali?"

"Kejap."

Qistina menutup sketch pad lalu mengemas pensel dan pen yang bertaburan di atas meja belajar. Kardigan hitam dicapainya lantas disarung pada badan yang hanya bersalut t-shirt nipis yang menampakkan bentuk tubuh. Kelihatan riak tidak senang terpancar dari wajah Juwairiyah namun tiada kata - kata bantahan yang keluar dari mulutnya. Qistina cuba mentafsir riak wajah Safiyyah pula tetapi gagal kerana gadis itu memang sukar dibaca. Dia tidak pasti sama ada senyuman yang bermain di bibir Safiyyah itu tanda dia setuju dengan apa yang dilihatnya atau tidak.

Suasana di kafeteria agak bingit dengan laungan dan gelak tawa manusia yang membanjiri tempat itu untuk mendapatkan makan malam mereka. Qistina cuba untuk tidak kelihatan terlalu terganggu dengan suasana itu kerana perutnya sudah dari tadi asyik berkeroncong minta diisi. Setelah memesan mi goreng tomyam untuk menu makan malam, Qistina meraba - raba poket kardigan untuk mencari dompet. Riak wajah panik mula terbit setelah tangannya gagal menemui objek keras berbentuk empat segi itu.

"Empat ringgit." Perempuan separuh abad itu memandang Qistina  dari atas ke bawah. Riak wajahnya bengis.

"Kejap eh makcik," balas Qistina. Tangannya sibuk meraba - raba poket seluarnya pula. Dari ekor mata, dia dapat melihat barisan manusia yang sudah beratur panjang di belakang. Menyedari kecuaiannya meninggalkan dompet itu di bilik, peluh dingin mula menitis. Dia memang tiada pilihan lain selain mengharapkan bantuan Safiyyah.

"Kira sekali makcik."

Qistina hampir - hampir mengeluarkan bunyi seperti kucing tersepit apabila lelaki berbaju Melayu merah di belakangnya menghulurkan sekeping not bernilai sepuluh ringgit kepada perempuan tua itu. Sambil berpusing ke arah lelaki yang telah menyelamatkannya, Qistina cuba untuk mengawal wajahnya agar tidak kelihatan terlalu lega. Dia tidak mahu kelihatan seperti 'damsel in distress' yang hanya mengharapkan bantuan daripada si 'prince charming'. Mendengar bunyi - bunyian yang dibuat oleh kawan - kawan lelaki itu untuk mengusik mereka, egonya bagaikan tercabar. Dia bukan gadis lemah seperti yang digambarkan dan dia benci apabila dia dilayan sebegitu.

"Awak, tunggu sini. Nanti saya bayar balik duit awak."

Lelaki itu menoleh ke arah Qistina sepintas lalu sebelum melangkah meninggalkan kaunter.

"Takpe. Saya sedekah," balasnya dengan suara yang tenggelam timbul ditelan kebisingan kafeteria.

Mata Qistina terbeliak. Sedekah? Perasaan geram mula menguasai hati. Kakinya laju mengekori lelaki itu ke arah meja yang diduduki bersama kawan - kawannya.

"Saya tak terima sedekah. Saya bukan pengemis nak bagi - bagi sedekah bagai. Setakat mi empat ringgit macam tu, memang lebih dari mampu lah."

"Ya, ya. Saya faham."

Entah kenapa setiap perkataan yang dikeluarkan lelaki berkopiah putih bersih itu makin menaikkan lagi kemarahannya. Mungkin juga kerana responsnya yang tenang mengingatkan Qistina kepada Qalif.

"Apa yang awak faham?"

Lelaki itu meletakkan sudu dan garpunya lalu menghela nafas berat.

"Sister, kenapa nak marah - marah ni? Setahu saya, saya takde buat salah apa - apa pun. Kalau awak tak nak rasa terhutang budi, bila - bila kita jumpa nanti, awak bayarlah. Tolonglah jangan hilangkan mood saya untuk makan. Saya lapar sangat ni."

Kemarahan Qistina mulai kendur. Wajah lelaki ini betul - betul mengingatkannya kepada Qalif. Tanpa mengucapkan sebarang permohonan maaf, Qistina berlalu dengan tangan yang masih menggenggam erat plastik yang berisi makanan. Mungkin dia tidak sepatutnya memarahi lelaki itu. Namun, apakan daya, dia memang agak bengis sewaktu lapar.

No comments: