Friday, October 17, 2014

Stand Together (Bab 6)

BAB 6


Berita kepulangan tunangnya ke Malaysia diterima Farah dengan pasrah. Sejak hari itu, telefonnya sering dihujani dengan mesej - mesej daripada keluarga Faris yang mendesak mereka supaya bertemu muka sekadar untuk bertanya khabar. Farah pada asalnya bukanlah seorang gadis yang degil namun jika melibatkan Faris, dia terpaksa menjadi seperti itu. Bukan niatnya untuk menidakkan kemahuan mereka, dia cuma belum bersedia.

Apabila disoroti kembali sejarah mereka, mereka sebenarnya bukan dua insan yang saling membenci tetapi mereka juga bukannya saling menyukai. Bagi Farah, perasaan sayang terhadap Faris langsung tidak wujud. Jika Faris yang dikenalinya dulu masih tidak berubah, dia yakin lelaki itu juga pasti mempunyai pandangan yang sama terhadapnya. Yang menjadi masalah ialah dia tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kengganan kepada orang - orang yang sepatutnya.

Lamunan Farah terhenti apabila pen yang dipegang terlepas daripada genggamannya. Menyedari bahawa dia sudah jauh mengelamun, dia segera tunduk mencapai pennya lalu kembali menumpukan perhatian kepada pensyarah separuh abad yang sedang menerangkan sesuatu di hadapan. Sesekali dia mengangkat muka lalu mengangguk mengiakan kenyataan lelaki itu. Mesej Datin Yasmin, ibu Faris dibiar sepi tidak berbalas. Fokusnya di dalam kelas tidak boleh terganggu. Dia sudah berjanji dengan dirinya sendiri untuk tidak mencampur adukkan masa yang sepatutnya dihabiskan untuk belajar dengan urusan peribadi. Masanya terlalu berharga untuk dibazirkan seperti itu.

Kelas berakhir lima minit sebelum jarum jam menghampiri angka sebelas. Farah tunduk mengemas buku - buku dan pen sebelum melangkah keluar dari dewan kuliah. Di kiri dan kanannya, dia dapat melihat hampir kesemua kawan - kawan sekelasnya mempunyai kawan yang boleh diajak berjalan bersama. Nafasnya dihela berat. Dia memang agak bermasalah apabila disuruh bersosial. Kerana sering diingatkan tentang statusnya yang merupakan anak pungut, keyakinan dirinya terus dibunuh sedikit demi sedikit sehinggalah dia membesar sebagai seorang yang tidak pandai bersosial.

Langkah Farah terhenti apabila dia terdengar namanya dipanggil. Kerana terlalu asyik melayan perasaan, dia hampir - hampir tidak ternampak Nadia yang sedang berlari ke arahnya.

"Ya?"

"Saya dah ambil borang. Awak betul nak join ni?" soal gadis tinggi lampai dan berkulit cerah itu. Hujung tudung tiga segi yang dipakainya melambai - lambai ditiup angin petang.

Farah mengerutkan dahi seolah - olah perbuatan tersebut dapat membantunya mengingat kembali punca Nadia tiba - tiba menghulurkan borang kepadanya. Dengan pandangan skeptikal, Farah menyambut borang yang dihulurkan lalu membaca bahagian yang paling atas pada borang itu.

'Borang Penyertaan Kelab Debat Bahasa Malaysia'

Farah mengalihkan pandangannya ke muka Nadia untuk mendapatkan kepastian. Jujur dia tidak pernah terfikir gadis itu akan memandang serius hasil perbincangan mereka untuk sama - sama menyertai kelab debat dua minggu yang lalu. Perbincangan itu bermula apabila Farah tiba - tiba terluah hasrat yang sudah lama dipendamnya untuk belajar meningkatkan keyakinan diri. Dia tidak mahu kekal dalam zon selesa seumur hidupnya. Sudah tiba masa untuk dia cuba melakukan sesuatu yang belum pernah dibuat sebelum ini. Nadia yang pada ketika itu sedang asyik memarut lobak merah terdiam seketika sebelum mencadangkan mereka menyertai kelab sebagai langkah pertama untuk berubah.

"Terima kasih Nadia tapi..." Kata - kata bagaikan hilang dari mulutnya sebaik sahaja Nadia menghela nafas seakan - akan mengeluh.

"Tapi awak tak boleh, Saya dah agak dah," pintas Nadia. Mulutnya sengaja dimuncungkan tanda tidak puas hati.

"Bukan macam tu. Saya cuma rasa yang debat terlalu drastik."

Senyuman kembali terbit pada wajah Nadia.

"Ya, ya. Saya tahu. That's why saya ambil sekali borang Arts and Culture." Muka Farah berkerut. Otaknya ligat mencari alasan lain.

"And this time I won't take no as an answer," sambung Nadia ceria. Dia tahu Farah tidak mempunyai sebab untuk menolak cadangannya kali ini.

#

Bukan menjadi kebiasaan bagi Muhammad Naim Danish untuk kembali ke alam mimpi selepas waktu Subuh kerana ketika arwah ayahnya masih ada, dia sering diingatkan supaya tidak menghabiskan waktu paginya seperti itu. Untuk mengalihkan perhatiannya, mereka sering keluar beriadah di sekitar rumah bersama - sama dan balik sebelum matahari terbit. Kemudian, mereka akan pulang ke rumah sebelum keluar lagi untuk ke sekolah dan tempat kerja ayahnya.

Hari ini mungkin merupakan kali pertama dia terpaksa melanggar janji yang dibuatnya. Sebaik sahaja selesai bertadarus seperti yang biasa dilakukan setiap pagi, matanya seolah - olah tidak dapat dibuka lagi. Apabila sampai di bilik, kakinya laju dihalakan ke katil. Perkara terakhir yang didengari oleh Naim sebelum menutup mata ialah suara Aiman yang mengingatkannya untuk bangun awal supaya tidak terlepas kelas pada pukul 10 pagi nanti.

Itu kejadian pagi tadi. Sekarang jarum jam sudah menunjukkan angka 10.15 dan Naim masih lagi terkial - kial menyeterika baju yang akan dipakainya ke kelas. Sepanjang perjalanan ke kelas, suara ayahnya membaca sepotong hadis pendek riwayat at-Tabarani bagaikan terngiang - ngiang di telinganya. Perasaan kesal mula terbit kerana mengabaikan nasihat ayahnya itu.

Dengan mulut yang masih terkumat - kamit membaca doa, Naim akhirnya memberanikan diri menjenguk ke dalam bilik serba putih yang ditunjuk oleh lelaki tukang cuci yang ditemuinya tadi. Wajah Aiman menyapa pandangannya. Apabila mata mereka bertemu, lelaki itu cepat - cepat membuat isyarat agar dia segera masuk. Pandangannya beralih ke muka seorang lelaki berkaca mata yang sedang menulis sesuatu di bahagian hadapan makmal. Pandangan Naim dibalas lelaki itu dengan anggukan.

"Sit with your lab partner over there and then we'll continue with what we left off." Suara lelaki itu bergema memecah kesunyian.

"Sister, can you raise your hand?" pinta pensyarah itu apabila dilihatnya Naim masih tidak bergerak dari tempatnya.

Naim berpusing ke belakang dan dengan langkah yang berat, mengambil tempat di sebelah seorang gadis bertudung labuh yang kelihatan teragak - agak untuk mengangkat tangannya. Sebelum duduk, tangannya automatik menarik kerusi ke arah yang lebih hampir dengan dinding agar kerusi mereka tidak terlalu dekat. Naim sebenarnya tidaklah terlalu janggal untuk berinteraksi dengan wanita walaupun sekolahnya dulu hanya menempatkan pelajar lelaki namun melihatkan gadis ini yang kelihatan sangat tidak selesa dengan kehadirannya, perasaan itu bagaikan turut menyerang dirinya.

Dalam hatinya terbit secebis perasaan kasihan kepada gadis yang akan menjadi 'lab partner'nya sepanjang semester ini. Mungkin dia patut mencari jalan untuk mengurangkan kejanggalan antara mereka sebelum kelas secara rasminya bermula minggu depan kerana sepanjang dua jam kelas, gadis itu tidak pernah menoleh ke arahnya walau sekali pun.

Naim baru sahaja bercadang untuk menegur gadis itu selepas kelas berakhir tetapi niatnya terpaksa dibatalkan apabila Aiman tiba - tiba melangkah ke arah mereka.

"Kenapa enta lambat? Kan ana dah..."

"Ana nak cakap dengan lab partner ana kejap," potong Naim lalu mula mengatur langkah untuk mengejar 'lab partner'nya yang baru sahaja meninggalkan makmal. Nasibnya baik kerana gadis itu tidak ditemani oleh sesiapa dan dia juga tidak kelihatan seperti dalam keadaan tergesa - gesa.

"Sister, boleh tunggu sekejap?"

Bulat mata gadis itu memandang Naim apabila laluannya dihalang.

"Ya?"

"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" soal Naim. Perasaannya kuat mengatakan dia pernah berjumpa dengan si gadis sebelum ini. Tadi mungkin dia tidak perasan kerana gadis itu lebih banyak mengelak dari memandangnya namun apabila berdiri berhadapan seperti ini, dia terasa seolah - olah dia pernah berjumpa dengan gadis ini.

"Saya tak pasti," balas gadis itu sambil menoleh ke kiri dan kanannya. Dia kelihatan lega apabila Aiman menghampiri mereka.

"Oh, maaf! Silap orang kot. Saya Naim. Awak?"

"Amalina. Maaf, saya ada kelas."

Naim menghela nafas berat apabila gadis itu menghilang dari pandangannya.

"Aku tak pernah jumpa student engineering perempuan macam tu. Macam manalah dia survive."

Aiman menepuk bahu sahabat sebiliknya itu.

"Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu. Kau tak ingat ke?" Naim mengangguk mengiakan kenyataan Aiman. Itu janji Allah dan Allah semestinya tidak akan mengabaikan orang yang menjaga hakNya.

No comments: