Thursday, December 4, 2014

Cinta Teragung (Prolog)

PROLOG

"Mina, kau nak pergi mana?"

Amalina mengangkat jari telunjuk ke bibirnya sambil tersengih menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi. Nik Fathiah bercekak pinggang di hadapan buku latihan add math yang terbuka, geram dengan gadis itu yang kerap membuat onar. Masuk hari ini sudah lebih tiga kali Amalina ponteng usrah dan setiap kali itulah dia akan disoal siasat oleh kakak naqibah mereka seolah - olah dia tidak punya aktiviti lain selain menjaga tepi kain kawan sekelasnya itu.

"Kalau kau nak ponteng, bagitau Kak Madi sendiri. Aku penatlah kena soal macam - macam," Nik Fathiah cuba mendapatkan pengertian.

Senyuman Amalina mulai kendur.

"Kita kan satu usrah. Tak boleh ke kau tolong aku sekali - sekala."

"Ni bukan sekali - sekala tapi dah berjuta - juta kali. Yang kau liat sangat nak datang usrah ni kenapa? Kau tahu tak Ustaz Syukri sekarang tengah sibuk detect budak - budak yang ponteng usrah lebih dari tiga kali. Kau nak kena denda ke?"

Amalina cepat - cepat melompat ke bahagian sebelah kiri Nik Fathiah untuk menekup mulut gadis itu dengan tangannya. Mereka berdua tahu perkara seperti ini tidak boleh dibincangkan di dalam kelas. Ramai mata - mata yang melihat dan mendengar. Tambahan pula, pengerusi Badan Dakwah dan Tarbiah hanya berada satu meja di hadapan mereka.

"Kau ni, nak cakap pun tengoklah kiri kanan dua tiga kali dulu. Kan nanti tak pasal - pasal aku kena cekup dengan si Mawaddah tu."

Anak mata Nik Fathiah beralih ke arah tempat duduk Mawaddah. Gadis itu sedang duduk membongkok membelakangi mereka. Buku teks Pendidikan Qur'an dan Sunnah kelihatan terbuka di atas mejanya. Dia memang selalu begitu, masa lapangnya tidak pernah dihabiskan dengan sia - sia. Kalau tidak ke sana ke mari menghadiri meeting dan yang seumpama dengannya, dia pasti akan kelihatan bersama buku di tangan.

"Lantak kaulah. Aku dah puas nasihat. Kalau Kak Madi tanya, aku akan cakap aku tak tahu." Amalina tersenyum. Badan Nik Fathiah dirangkulnya erat.

"Okay Nik. Thanks. Sayang kau."

Nik Fathiah mencebik. Geramnya masih bersisa. Lengan Amalina yang masih berada di atas bahunya ditepis untuk menunjukkan reaksi kurang senang. Dia sebenarnya tidak sampai hati melihat wajah kecewa Kak Madina setiap kali diberitahu tentang ketidakhadiran Amalina ke usrah. Dia tahu Kak Madina memang sudah berusaha bersungguh - sungguh untuk memastikan semua orang memperoleh sesuatu daripada usrah yang dijalankannya setiap minggu. Dengan ahli yang culas seperti Amalina, dia terpaksa bekerja dua kali lebih keras untuk itu.

Amalina memisahkan dirinya daripada Nik Fathiah lalu menggantung beg sandang penuh berisi buku pada bahunya. Sebelum pergi, dia sempat melambai ke arah Nik Fathiah. Walaupun dia tidak puas hati dengan perbuatan Amalina, lambaian Amalina tetap dibalasnya untuk tidak menyinggung hati sahabat yang sudah dikenalinya dari tingkatan satu itu lagi.

*

Amalina mengatur langkah menuruni anak tangga bangunan bercat hijau muda dan putih yang menempatkan pelajar tingkatan tiga dan lima itu. Bangunan itu baru sahaja siap dibina. Dindingnya yang dicat putih masih kelihatan bersih daripada kesan kotoran, tidak seperti bangunan lain di sekitar yang sudah pudar dan merekah catnya.

Kakinya laju dihala melintasi dewan Fatimah Az-Zahra. Di dalamnya, beberapa orang pelajar sedang duduk berbual - bual sambil menikmati makanan tengah hari sementara menanti bermulanya usrah pada pukul tiga petang. Beberapa orang pelajar lain kelihatan sedang membentuk halaqah di satu sudut dewan mengelilingi plastik berisi makanan ringan dan minuman. Amalina tahu ada sebahagian naqibah yang memulakan usrah lebih awal untuk memenuhi permintaan ahli usrah yang tidak ingin pulang lewat. Namun jumlah mereka tidak ramai. Masih ramai pelajar yang sedang merayau - rayau di sekitar kawasan sekolah. Malah, ada yang baru pulang dari Pasar Besar Siti Khadijah dengan tangan sarat menjinjit plastik berisi nasi bungkus.

Apabila tiba di hadapan pagar, mata Amalina melilau mencari sebarang ancaman yang boleh membantutkan hajatnya petang ini. Langkahnya diatur penuh hati - hati agar tidak terserempak dengan naqibah usrahnya. Dia tahu Kak Madina sering keluar membeli makanan melalui pintu pagar belakang. Dia pernah beberapa kali terserempak dengan pelajar tingkatan enam itu di situ.

"Eh, Mina! Nak pergi mana?"

Amalina tersentak. Memang tidak silap lagi itu suara Kak Madina. Dengan wajah yang pasrah dia menoleh ke belakang, malu sendiri kerana telah ditangkap oleh naqibahnya. Kak Madina melontarkan senyuman nakal.

"Kita kan ada usrah hari ni. Fathiah tak bagitau ke?"

Amalina menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tahu dia perlu kreatif untuk melepaskan diri daripada situasi ini. Kak Madina seorang yang rasional orangnya. Dia tidak mudah tertipu dengan alasan yang biasa - biasa.

"Ada kot. Mina memang nak pergi tapi Mina ada hallah Kak Madi." Amalina amat berharap Kak Madina tidak akan menyoalnya dengan lebih lanjut. Jika tidak, terpaksalah dia menipu untuk melepaskan diri.

"Hal apa?" Gadis bersuara merdu itu meminta penjelasan.

"Pak cik Mina accident. Masuk wad. Kesian dia, kaki patah." Amalina menggaru batang tengkuknya yang tidak gatal. Selamba pembohongan itu keluar dari mulutnya.

Mulut Kak Madina terbuka sedikit. Matanya dikecilkan seolah ragu - ragu.

"Betul ke ni?"

"Betullah. Takkanlah Mina nak tipu Kak Madi pulak." Amalina tahu riak wajahnya terlalu tenang untuk seorang anak saudara yang baru mendapat berita pak ciknya tempang. Walaupun menipu adalah kepakarannya, berpura - pura mengambil berat tentang seseorang yang langsung tidak signifikan dalam hidupnya masih lagi sesuatu yang berat untuk dilakukan. Kalaulah ditakdirkan Pak Cik Amat patah kaki sekalipun, dia yakin wajahnya tidak akan menunjukkan sebarang perubahan daripada riaknya sekarang.

"Inna lillahi wainna ilaihi rajiun." Sepanjang lima minit yang lalu sudah beberapa kali bola mata Amalina bergerak ke arah jam yang melingkari pergelangan tangan kanannya. Kak Madina kelihatan seperti ingin menyoal dengan lebih lanjut namun niat itu terpaksa dipendamnya.

"Okaylah, Kak Madi benarkan Mina balik tapi dengan syarat Mina kena datang usrah gantian minggu depan. Kalau tak, Kak Madi kira tak hadir. Boleh tak?" Amalina cuba melawan senyuman yang cuba muncul di wajahnya.

"Okay. Thank you. Love you Kak Madi."

Sebelum pulang, mereka bersalam - salaman lagak dua orang sahabat yang tidak akan berjumpa lagi buat selama - lamanya. Kak Madina sempat berpesan berkali - kali agar menghadiri usrah seperti yang dijanjikan minggu depan. Walaupun Amalina memang tidak berniat untuk memenuhi syarat itu, kepalanya ringan bergerak dari atas ke bawah semata - mata untuk melepaskan diri.

Stesen bas penuh sesak hari ini berikutan cuti pada keesokan harinya. Sebaik mengambil tempat duduk di dalam perut bas, earphone dikeluarkan lalu disua ke telinga. Lagu 'Tuhan Jagakan Dia' daripada Motif Band bergema dalam ruang kepalanya. Perjalanan memakan masa yang lama. Dia hampir terlelap apabila matanya tiba - tiba terpandang stesen minyak Petron yang memang berada betul - betul di sebelah lorong yang menghala ke rumahnya. Sebelah earphone dikeluarkan. Sebelum keluar dia sempat menjeling ke arah Isyhad yang sedang tersenyum simpul memandangnya.

Amalina menguak pintu depan rumah yang tidak berpenghuni itu. Dia tahu abi masih berada di tempat kerjanya di sebuah sekolah agama di Jalan Pengkalan Chepa dan tidak akan pulang sehingga lewat petang. Najihah pula masih di sekolah menghadiri usrah. Dia tidak tahu ummi ke mana. Selalunya dia ada pada waktu - waktu sebegini. Tuala dicapai lalu dengan langkah yang tidak bermaya, dia mengatur langkah ke bilik mandi. Badannya terasa sudah melekit - lekit.

Sewaktu melintasi ruang tamu untuk ke tandas, dia ternampak Pak Cik Amat berjalan ke arah rumahnya. Mungkin dia hendak berjumpa ummi, fikir Amalina sebelum berpatah balik ke biliknya untuk mencapai tudung. Tepat seperti jangkaannya Pak Cik Amat terus bertanyakan ummi sebaik melihat wajah Amalina tersembul di sebalik daun pintu.

"Ummi takde. Sekejap lagi baliklah tu."

Lelaki itu merenung Amalina tajam. Bibirnya yang merah kehitaman akibat terlalu kerap menghisap rokok kelihatan terkumat - kamit seolah - olah ingin berkata sesuatu. Lama dia mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Pandangannya meliar ke bahagian dalam rumah melalui rekahan pintu yang terbuka.

"Aku ada tertinggal lighter kat meja makan. Pergi ambil. Aku tunggu sini."

Tanpa berfikir panjang, Amalina segera melaksanakan seperti yang diarahkan, takut hendak membiarkan lelaki itu lama - lama di sini. Dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila dia terdengar bunyi pintu depan ditutup . Lelaki berumur dalam lingkungan lewat 20an itu sedang berdiri di hadapan pintu dengan senyuman yang aneh. Bibirnya dijilat - jilat.

*

Rayyan melompat turun dari bas. Jam di tangan dikerlingnya sekilas. Sudah pukul 3.30 petang. Sambil membetulkan pegangannya pada tali beg, dia bergerak ke arah rumahnya yang berada hanya beberapa lorong daripada jalan besar. Kawasan perumahan itu agak sunyi kerana baru saja disiapkan. Masih banyak rumah dan lot yang kosong. Ada di antaranya yang menjadi sarang mat - mat motor melepaskan gian. Adik lelakinya, Amir selalu mengadu terserempak dengan mereka setiap kali pulang dari sekolah.

Peluh yang menitis diseka dengan tangan. Rumahnya sudah tidak jauh, hanya tinggal beberapa lorong sahaja lagi. Dari tempatnya berdiri sekarang, bumbung rumahnya sudah jelas kelihatan. Rayyan mempercepatkan langkah. Dia sudah tidak sabar - sabar lagi untuk mengisi perut yang berkeroncong dengan masakan ibunya. Maklumlah, dia sudah dua bulan tidak pulang ke rumah kerana dibebani dengan komitmen demi komitmen di asrama.

Di selekoh yang terakhir, dia membelok ke kiri. Rumah teres dua tingkat tersergam indah di hadapannya. Dia menghulur tangan untuk membuka selak pada pintu pagar yang berkunci dari dalam. Tangannya terhenti apabila kelihatan sesuatu bergerak dari balkoni rumah jirannya. Menggunakan tangannya sebagai penghalang cahaya, dia mendongak untuk melihat dengan lebih jelas. Seorang gadis yang kelihatan kusut masai sedang bertenggek pada bahagian atas dinding balkoni. Sebelah kakinya berjuntai turun. Muka Rayyan berkerut - kerut cuba mentafsirkan apa yang dilihatnya.

"Awak nak buat apa ni?"

Gadis berbaju kurung itu menoleh. Air matanya cepat - cepat disapu dengan hujung lengan baju.

"Aku lagi rela mati daripada biar lelaki tak guna tu sentuh aku."

"Apa awak cakap ni?"

Gadis itu mengangkat jari telunjuk, mengisyaratkan supaya Rayyan memasang telinga. Dia dapat mendengar sayup - sayup bunyi hentakan dari rumah di sebelahnya. Bunyi itu kedengaran bertalu - talu.

"Dia tengah pecahkan pintu," gadis itu menerangkan.

Rayyan meletakkan beg pakaian ke bawah. Pintu rumahnya dipandang sekilas.

"Walau apa pun jadi, jangan terjun. Jangan sekali - kali terjun. Faham?" Suara Rayyan tegas memberi arahan.

Suara Ustaz Ahmad Alwi yang sedang menceritakan kisah Khalifah al-Mu'tasim kembali terngiang - ngiang di telinganya. Dengan semangat yang berkobar - kobar, dia menghampiri pagar rumah yang bersebelahan dengan rumahnya. Pintu hadapan yang tidak berkunci dibuka perlahan.

Suasana di ruangan bawah sunyi sepi. Tiada sesiapa yang ada di situ. Tidak sampai beberapa saat selepas dia masuk, bunyi pintu ditolak kedengaran diikuti dengan jeritan seorang gadis. Rayyan bergegas mendaki tangga ke ruangan atas. Bunyi tangga bergegar kuat apabila dinaiki dengan tergesa - gesa. Di dalam salah satu bilik yang terbuka, dia dapat melihat seorang lelaki sedang bergelut dengan gadis yang berada di balkoni tadi. Si gadis cuba melawan namun kedua - dua tangannya dipegang oleh lelaki itu dengan mudah.

Api kemarahannya mula membara. Kakinya dihalakan pantas ke arah bilik itu. Dia cepat - cepat mencari sebarang senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Pandangannya terhenti pada pasu bunga kaca yang berada di atas meja. Tanpa berfikir panjang, pasu bunga yang masih berisi bunga ros hidup itu dicapai lalu dihentakkan ke atas kepala lelaki itu dengan sekuat hati.

Lelaki itu berpusing ke belakang. Tompokan darah mula membasahi tangan yang digunakan untuk menekup lukanya itu. Matanya bulat apabila terpandang serpihan kaca yang masih tergenggam dalam tangan Rayyan. Menyedari kegagalan rancangan jahatnya, dia berundur lalu berlari keluar dari bilik dengan cemas.

Rayyan menarik nafas lalu meletakkan serpihan kaca yang dipegangnya. Tangannya terketar - ketar kerana serbuan adrenalin. Selimut yang berada di atas katil dicapai lalu diserahkan kepada gadis itu untuk menutup badannya yang terdedah. Gadis itu menyambut selimut yang dihulurkan dengan berhati - hati.

"Mak saya ada kat rumah. Awak boleh tumpang sekejap."

Gadis itu merenungnya tajam. Selimut yang meliputi tubuhnya digenggam dengan lebih erat hingga hanya mata bundarnya yang kelihatan dari celah bukaan selimut itu.

"Macam mana aku boleh percayakan kau?"

Rayyan merengus.

"Saya tak paksa. Kalau awak rasa selamat kat sini, duduk jelah."

Gadis itu tunduk, selimut ditarik lebih rapat dengan tubuhnya. "Okay."

Sewaktu sedang menuruni tangga, suara orang berbual - bual kedengaran dari luar kawasan rumah. Lelaki tadi kembali bersama seorang wanita. Dari gayanya mereka kelihatan seperti sedang berbincang perkara yang serius. Selepas mendengar sesuatu yang dikatakan oleh lelaki itu, pasangannya cepat - cepat menyerbu ke arah pintu. Mata wanita itu terbeliak apabila terpandang Rayyan dan gadis di belakangnya. Plastik yang berisi sawi dan tomato segar terlepas dari genggamannya.

"Amalina, apa ni?"

"Ummi!" Gadis itu separuh menjerit.

No comments: