Thursday, December 18, 2014

Cinta Teragung (Bab 2)

BAB 2

Hasmah mencapai kain pelikat suaminya daripada raga pakaian kering yang baru diangkatnya tadi. Tangannya laju melipat kain itu supaya dapat disusun di dalam almari pakaian nanti. Suaminya yang sedang membelek kitab di atas kerusi di ruang tamu dikerlingnya sekilas sebelum dia tunduk mengambil pakaian lain pula untuk dilipat.

Semua kerja di dapur sudah disiapkannya tanpa bantuan sesiapa. Suaminya sudah berkali - kali memberi amaran agar tidak terlalu memanjakan Najihah tetapi Hasmah tidak kisah. Najihah masih budak - budak. Dia masih ada masa untuk belajar. Hasmah tidak mahu terlalu memaksa Najihah melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

"Takutlah saya bang bila fikir pasal Amalina ni." Hasmah bersuara memecahkan kesunyian.

Ahmad menanggalkan kaca mata. Kitab yang dibacanya mengeluarkan bunyi yang kuat apabila ditutup dengan pantas. Walaupun dia dapat berlagak tenang di hadapan mereka, hakikatnya dia yang paling terkesan kerananya. Marahnya sudah lama hilang namun kesedihannya masih bersisa.

"Ini bukan kali pertama dia berjauhan dengan kita. Pandailah dia jaga diri," Ahmad membalas. Dia sengaja tidak mahu memberi peluang kepada isterinya memburuk - burukkan Amalina lagi. Seburuk - buruk Amalina, dia tetap anaknya. Ahmad tidak rela anaknya diumpat - umpat apatah lagi oleh ibu kandung Amalina sendiri.

Hasmah mendengus. Wajah suaminya direnung dengan riak yang kurang senang.

"Ishh abang ni. Ni lain bang. Suami dia ada sekali kat situ. Itu yang saya bimbang," terang Hasmah dengan nada suara yang rendah seolah - olah bimbang suaranya akan didengari jiran - jiran mereka.

Ahmad menoleh memandang isterinya dengan wajah yang berkerut sarat tanda tanya. Kenyataan Hasmah betul - betul bertentangan dengan apa yang ada dalam fikirannya.

"Baguslah suami dia ada sekali. Boleh tolong tengok - tengokkan dia."

Hasmah menggeleng tanda tidak setuju dengan kenyataan suaminya itu. Sebelum ini dia ada terdengar Kiah yang tinggal di bahagian hujung taman perumahan mereka bercerita tentang Asiah, emak Rayyan yang telah ditinggalkan oleh suaminya tanpa lafaz cerai. Jika ayahnya seperti itu, tidak mustahil anaknya juga begitu, malah mungkin lebih teruk. Hasmah bimbang kalau - kalau Amalina juga akan ditinggalkan seperti Asiah. Jika perkara seperti itu berlaku, satu keluarga bakal menanggung malu.

"Bahaya, bang. Bahaya. Macam mana kalau tiba - tiba dia buat perkara tak senonoh macam tu lagi. Tak ke bahaya? Masa nak kahwin dulu, bukan main nak rahsia - rahsia. Tau pulak malu. Tu depan kita, belakang kita tak tahulah macam mana."

Ahmad menghela nafas. Kitab yang dipegangnya diletakkan ke atas meja. Moodnya untuk belajar tentang perbezaan empat mazhab sudah terbantut.

"Tak senonoh apanya? Tu kan suami dia," balas Ahmad. Acuh tidak acuh sahaja dia menjawabnya.

Hasmah menarik muka, kurang senang dengan sikap suaminya yang sering mengambil mudah dalam urusan yang melibatkan Amalina. Sikap itulah yang menyebabkan Amalina sering mencetuskan masalah. Sejak kecil lagi dia memang susah dikawal. Hari - hari ada sahaja kerenahnya yang menyakitkan hati. Hasmah tahu Amalina berani melakukannya kerana dia akan sentiasa disokong oleh Ahmad walaupun dalam perkara yang jelas salah.

"Bela lagi anak dengan menantu kesayangan abang tu. Entah - entah, menantu abang tu sengaja nak gunakan Amalina. Bila dah mengandung nanti ditinggalnya si Amalina macam ayah dia dulu. Senanglah dia, lepas tanggungjawab. Lelaki macam tu tahu nak berseronok je. Dah bosan, cari lain. Kita jugak yang malu bang," tambah Hasmah dengan benci.

Ahmad bangkit dari kerusinya. Dadanya berombak kencang. Dia tidak suka mendengar isterinya mengungkit - ungkit cerita yang dia sendiri tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Apa yang didengari isterinya mungkin tidak lebih daripada cerita yang hanya ditokok - tambah oleh mulut - mulut jahat manusia semata - mata. Jika bukan fitnah, maka ia dikategorikan sebagai mengumpat dan kedua - duanya dipandang sebagai dosa yang berat dalam Islam.

"Apa awak cakap ni? Berdosa tuduh orang bukan - bukan. Rayyan tu pelajar abang, bukannya orang lain. Abang kenal dia macam mana," bentak Ahmad. Mukanya merah menahan marah.

Terbeliak mata Hasmah apabila dimarahi seperti itu. Di kiri dan kanannya syaitan mula menghasut agar dia menyakitkan hati suaminya pula sebagai balasan.

"Tuduh apanya abang? Menantu abang tu memang perangai macam hantu. Berdua - duaan dengan anak dara orang. Hafiz konon. Hafiz sekarang ni macam - macam boleh buat bang."

Ahmad menggeleng kesal. Nampaknya dia bukan sahaja gagal mendidik anak - anaknya, isterinya juga turut gagal dididik dengan kefahaman Islam yang betul. Sia - sia dia belajar dan mengajar agama jika orang yang paling dekat dengannya sendiri tidak dapat ditarbiah dengan baik.

"Amalina pun satu. Belajar pun bukannya hebat sangat, kalau nak kata cantik, cantik lagi Munirah tu. Ada hati nak bercinta. Tak kesian ke dekat mak dengan ayah dia ni, susah - susah hantar pergi sekolah," tambah Hasmah, sengaja ingin menaikkan kemarahan suaminya. Bukan dia tidak tahu betapa sayangnya Ahmad kepada anak keduanya itu.

Ahmad bingkas bangun lalu menghampiri rak buku untuk meletakkan kembali kitab yang dibaca ke tempat asalnya. Dia kecewa benar dengan sikap isterinya yang seolah - olah tidak faham agama. Bukan dia tidak pernah menasihati isterinya itu supaya berubah namun nasihat yang diberikan umpama mencurah air ke daun keladi. Langsung tidak meninggalkan kesan.

"Tu nak pergi mana tu? Seluar ketat macam sarung nangka," bebel Hasmah apabila melihat Najihah menuruni tangga rumah.

Beristighfar panjang Ahmad apabila melihat pakaian anak bongsunya. Sebelum sempat dia melangkah ke luar rumah untuk menghalang, Najihah sudah hilang dari pandangannya, entah membonceng motor lelaki mana. Air matanya hampir menitis. Perasaan marah, sedih dan takut bercampur baur dalam hatinya.

Ya Allah, selamatkanlah keluarga aku.

*

Pintu yang hampir tertutup itu dikuak sedikit dengan kaki. Kotak yang berisi dua buah beg besar yang baru diambil dari stor tadi masih kemas dalam rangkulannya. Setelah sampai di bilik, kotak itu dihempas di satu sudut di sebelah meja belajar. Dentuman kuat kedengaran memecah kesunyian ruangan yang kosong tidak berpenghuni itu. Rayyan mengelap peluh yang mula menuruni dahinya lalu merebahkan badan ke atas tilam putih yang masih telanjang tidak bersarung.

"Yan, bila sampai?"

Rayyan menoleh lalu menghadiahkan senyuman tipis apabila susuk tubuh Khalil muncul di hadapan ruangan biliknya. Dia kelihatan seperti baru sahaja selesai menunaikan solat. Kopiah putih masih tersarung elok di atas kepalanya.

"Baru je."

Khalil menapak masuk. Laju tangannya dihulur untuk bersalam dengan Rayyan, sahabat yang sudah dikenalinya sejak sekolah rendah lagi. Matanya tertumpu ke arah kotak yang berada hampir dengan kaki sahabatnya itu.

"Banyak lagi ke? Ana tolong ambilkan?" Khalil menawarkan diri.

"Takpe. Ada satu je lagi. Tak besar sangat pun."

Khalil mengangguk akur.

"Enta pergi ambil. Biar ana tolong kemas barang. Ana pun takde apa - apa nak buat ni," balas Khalil. Kerusi yang berada di hadapan meja ditariknya. Dia duduk bersila di atas kerusi itu, menguis barang - barang yang terdapat di dalam kotak untuk mencari cadar atau apa - apa sahaja yang boleh digunakan untuk mengalas tilam.

Apabila Rayyan kembali semula ke bilik, tilamnya sudah cantik beralas. Buku dan kitab pula sudah berada di atas meja belajar bersama dengan peralatan menulis, menunggu untuk disusun. Hanya pakaiannya sahaja yang masih berlipat elok di dalam beg langsung tidak disentuh. Khalil seakan - akan tahu dia memang berniat ingin menyusunnya sendiri. Rayyan tunduk lalu menyandarkan bagasi yang baru diambilnya sebentar tadi pada dinding. Matanya meliar mencari kelibat Khalil namun bayang Khalil tidak ditemuinya di mana - mana. Ruangan biliknya juga kosong. Mungkin dia keluar.

Rayyan mengambil keputusan untuk menunaikan solat Asar. Sejadah yang diambil dari bilik Khalil dihampar menghadap arah kiblat. Laungan Allah Maha Besar kedengaran, menandakan bermulanya pertemuan antara seorang hamba dengan tuhannya. Dalam sujud terakhir, dipanjatkan doa yang tulus dari hatinya kepada Allah agar segala kebencian daripada hatinya dihapuskan. Selesai solat, kedengaran bunyi pintu hadapan dibuka. Khalil kembali bersama beg plastik yang berisi makanan dan minuman.

"Assalamualaikum. Maaf, ana turun sekejap tadi. Beli makanan. Jomlah makan."

Rayyan tunduk. Perasaan segan menguasai diri.

"Apa lagi? Pergilah basuh tangan."

"Enta ni dah macam mak ana dah. Ana tak tahu macam mana ana nak ucap terima kasih kat enta," tutur Rayyan perlahan. Walaupun dia bukan seorang yang sentimental, hatinya mudah tersentuh dengan benda - benda kecil seperti ini. Mungkin inilah keistimewaan berukhuwwah kerana Allah. Patutlah orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah dijanjikan naungan arasy pada hari kebangkitan nanti.

"Ana beli bukannya free tau. Tapi ana tak nak enta yang bayar. Biar Allah yang bayar. Kalau enta rasa nak berterima kasih, berterima kasihlah kat Dia yang hari - hari belanja ana dengan enta makan, langsung tak mintak sesen pun," balas Khalil sambil menghulurkan bekas polisterin kepada Rayyan.

Rayyan mengangguk. Peringatan yang disampaikan dengan cara yang santai tetapi cukup berkesan di hati. Begitulah cara Khalil memikat hati anak - anak didiknya melalui usrah. Hasilnya, ramai antara mereka yang sudah diberikan tanggungjawab menggerakkan kerja - kerja dakwah dan tarbiah di sekolah menggantikan dia dan Khalil.

"Zaujah enta tahun satu kan?"

Rayyan mengangguk.

"Ana ada ternampak dia masa Taaruf Week. Masya Allah. Sesuai dengan enta."

Rayyan menundukkan kepala menghadap butir - butir nasi berlaukkan ayam masak merah yang sudah tinggal separuh di dalam polisterinnya. Keluhan kecil keluar dari mulutnya.

"Ana tak tahulah. Jujur ana cakap ana susah lagi nak terima dia. Enta tahu kan ana jenis orang yang macam mana. Perkara - perkara macam ni kalau berlaku dekat orang lain memang ana tak boleh nak diamkan tapi bila ana sendiri yang kena, ana tak boleh nak buat apa."

"Enta dengan Ustaz Alwi macam mana sekarang?"

Wajah Ustaz Ahmad Alwi yang berjanggut tipis dan sentiasa berjubah itu berlegar - legar dalam minda Rayyan. Dahulu mereka memang agak rapat kerana kebetulan subjek yang diajar oleh Ustaz Ahmad Alwi adalah subjek yang paling diminatinya di sekolah. Selepas peristiwa itu, dia sudah mula hilang keberanian untuk berhadapan dengannya. Walau apa pun pandangan Ustaz Ahmad Alwi terhadapnya kini, Rayyan akan tetap menghormati lelaki itu yang telah mencurahkan ilmu yang tidak ternilai harganya kepada dirinya.

"Ada hikmahnya apa yang berlaku ni Yan. Allah dah pilihkan isteri untuk enta. Enta cubalah belajar untuk terima dia. Mungkin dia bukan macam yang enta harapkan tapi bila Allah dah pilih dia, itulah yang terbaik untuk enta."

Rayyan mengangguk mengakui kebenaran kata - kata Khalil. Perancangan Allah memang tidak pernah silap. Dia masih ingat firman Allah dalam surah Al-Baqarah 'Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu'. Ayat yang diturunkan untuk menerangkan tuntutan berperang ini sebenarnya boleh diguna pakai dalam setiap perkara dan keadaan kerana beriman dengan qada' dan qadar itu merupakan tuntutan iman. Sebagai Muslim, dia sepatutnya yakin bahawa Allah tidak akan memberikannya sesuatu melainkan sesuatu itu baik untuk dirinya.

"Ana akan cuba yang terbaik, insya Allah."

Malam itu, ketika dia sedang berbaring di atas katil, mindanya menerawang ke malam perkahwinannya dengan Amalina. Dia masih ingat, malam itu hujan turun dengan sangat lebat. Percikan air menembusi celah - celah tingkap yang agak jarang, bunyinya dapat didengari dari seluruh bahagian rumah.

Amalina sedang termenung di birai katil ketika dia masuk ke dalam bilik. Wajahnya kelihatan basah dengan air mata. Apabila pandangan mereka bertembung, Amalina cepat - cepat mengalihkan wajahnya supaya menghadap tingkap.

"Saya nakkan penjelasan. Kenapa awak fitnah saya?" soalnya. Segala ketidakpuasan yang ada dalam hatinya sejak sekian lama akan dihambur satu persatu malam itu juga.

Amalina tunduk sambil menggigit bibirnya.

"Maafkan saya."

Suara yang lembut dan sedikit serak itu menimbulkan sedikit perasaan bersalah dalam hatinya. Rayyan cuba memaksa dirinya untuk bertenang. Dia tidak boleh terlalu emosional. Emak dan adiknya ada di luar menonton televisyen. Dia tidak mahu perbualan ini didengari oleh mereka.

"Kenapa? Saya perlu tahu."

Amalina memandangnya. Matanya kelihatan merah kerana terlalu banyak menangis. Jika dilihat daripada reaksinya, Rayyan dapat merasakan Amalina betul - betul diburu perasaan bersalah atas tindakannya itu.

"Saya minta maaf. Saya takde niat nak rosakkan hidup awak," balas Amalina. Air mata yang menuruni pipinya dikesat dengan kasar. "Awak boleh anggap saya tak wujud, saya tak kisah. Walaupun saya isteri awak, saya janji saya tak akan menyusahkan awak. Saya akan sentiasa taat. Saya janji."

Sebelum ini Rayyan tidak pernah ambil tahu apa sebab Amalina menabur fitnah terhadapnya di hadapan keluarga mereka. Amalina tidak pernah memberitahunya. Dia juga tidak pernah terlintas untuk mengungkit soal itu lagi selain daripada hari itu. Lama - kelamaan, dia sudah mula terlupa tentangnya walaupun itu adalah punca berlakunya perkahwinan ini.

Mungkin selama ini dia sudah salah faham tentang Amalina. Walaupun dia tahu dia tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi, itu tidak akan sekali - kali menjadi penghalang untuk dia mengetahui kebenarannya daripada mulut Amalina sendiri. Sudah tiba masanya dia cuba mengenali isterinya sendiri. Hatinya sudah bulat untuk menerima Amalina seadanya walau seteruk mana sekalipun isterinya itu.

No comments: