Monday, November 3, 2014

Stand Together (Bab 7)

BAB 7


Asap rokok berkepul - kepul keluar daripada bibir Dya yang merah menyala bersalut lipstick. Sambil menyandarkan badan pada sofa merah yang terletak di satu sudut yang paling terpencil di tempat itu, dia sempat menghulur tangan untuk mencapai gelas yang berisi cecair merah pekat lalu mengosongkan segala isinya dengan rakus. Getaran rentak muzik yang dimainkan oleh deejay bagai menghimpit dadanya. Walaupun saban hari menjadi pengunjung setia kelab - kelab malam di sekitar ibu kota sejak kepulangannya ke Malaysia, dia tidak pernah dapat membiasakan diri dengan bunyi - bunyian yang terlampau kuat seperti ini.

Dalam kesamaran cahaya lampu, dia dapat melihat dengan jelas pengunjung - pengunjung yang sedang menari di ruangan bawah. Sebahagian daripada mereka kelihatan seperti sedang dirasuk kerana terlalu mabuk. Sewaktu di London dulu, pemandangan seperti ini memang sudah biasa dilihatnya. Dia sendiri pernah berkelakuan seperti itu, malah mungkin lebih teruk lagi, namun segalanya berubah selepas dia mengenali bekas teman lelakinya, Ashton. Bagi Dya, lelaki kacukan British dan Perancis itu boleh dikatakan satu - satunya perkara baik yang pernah terjadi dalam hidupnya.

Ashton bukan beragama Islam namun tingkah lakunya jauh seribu kali lebih baik daripada orang Melayu yang sedang dilihatnya sekarang. Walaupun cinta mereka kuat, jodoh mereka walau bagaimanapun tidak panjang kerana mendapat tentangan keluarga terutamanya daripada keluarga Ashton yang menganggap Dya dan keluarganya sebagai ancaman. Mereka bimbang anak mereka akan dipengaruhi oleh Dya untuk menukar agama.

"Can I?" soal seorang lelaki sambil memberi isyarat ke arah kerusi yang berada di hadapan Dya.

Dya mengangkat bahu. Senyuman manis terukir pada bibirnya sebaik lelaki itu mengambil tempat duduk. Dari pandangan pertama, dia kelihatan seperti seorang lelaki yang sombong namun tanggapannya terbukti salah apabila lelaki itu mengembalikan senyumannya. Buat beberapa saat dia hanya memerhatikan gerak - geri lelaki itu dari ekor matanya tanpa berkata apa - apa.

Daripada pakaian berjenama luar negara yang dipakainya, Dya dapat mengagak bahawa lelaki itu mungkin datang daripada keluarga yang berada dan berstatus tinggi, atau paling kurang setaraf dengan keluarganya. Malah, bau minyak wangi Chanel yang dipakai oleh lelaki itu juga turut melambangkan citarasa tingginya dalam berfesyen. Walaupun dia belum membuka mulut, Dya dengan mudah membuat kesimpulan bahawa lelaki itu bukan calang - calang orang.

"Have we met before?" soal lelaki itu, masih dengan senyuman.

Dya ketawa kecil. Soalan itu memang sudah dijangka. Berdasarkan pengalamannya, lelaki memang selalu menggunakan modal seperti itu untuk memulakan perbualan.

"Nah! I don't think so."

"Oh really?" balas lelaki itu dengan nada seakan - akan tidak percaya. Matanya dikecilkan seolah - olah dia sedang cuba untuk memaksa Dya supaya berterus terang. Apabila Dya tidak memberi sebarang respon terhadap apa yang cuba dilakukannya, dia kembali tersenyum.

"My bad. I'm Faris."
  
"Dya."

Faris mengangguk sambil menggumam sesuatu pada dirinya sendiri. Raut wajahnya masih menunjukkan reaksi kurang percaya. Selepas menoleh ke kiri dan ke kanannya untuk memastikan bahawa dirinya tidak akan diserang oleh mana - mana lelaki kerana bercakap dengan Dya, dia kembali memandang gadis itu dengan pandangan penuh perasaan ingin tahu.

"You selalu datang sini?" soal Faris.

"Takdelah. Sebelum ni I dengan family stay kat Primrose Hill."

Faris mengangguk. Matanya dikecilkan sekali lagi namun Dya tetap tidak menunjukkan sebarang respon.

"I see. Excuse me, I gotta make a call."

Dya menjungket bahu. Lama dia menunggu namun Faris tidak datang - datang lagi selepas membuat panggilan telefon. Mungkin lelaki itu tersilap orang atau dia sengaja ingin test market. Walau apa pun niatnya, Dya tidak kisah dan tidak berminat untuk ambil peduli. Kebetulan hari ini dia memang tidak ditemani oleh sesiapa. Haris, anak Datuk Syukor yang sepatutnya keluar bersamanya hari ini tidak dapat turut serta kerana ibunya jatuh sakit.

Kejadian pagi tadi kembali bermain di mindanya.

Pagi itu, Dya kembali menghadiri kelas. Dalam kelas Accounting I, seperti biasa, dia terserempak dengan Irwan dan kawan - kawannya namun lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila melihatnya. Mungkin dia sudah biasa melayan perempuan seperti itu sehingga dia sudah hilang rasa bersalah setiap kali menyakitkan hati perempuan. Atau mungkin juga dia tidak menganggap hinaannya itu perkara besar bagi Dya.

Sebaik tamat kelas, Dya cepat - cepat beredar. Kelas berikutnya akan bermula lebih kurang sejam lagi. Dya memutuskan untuk menunggu di kafe sementara menanti kelas bermula. Sambil menghirup jus buah kegemarannya, dia sempat membelek - belek buku Rework karya Jason Fried dan David Hansson. Buku itu adalah hadiah daripada kawan ayahnya. Dia sudah lama mendapat buku itu namun sekarang barulah dia berkesempatan untuk membeleknya.

"Assalamualaikum. Boleh saya duduk?"

Dya memandang gadis itu dari atas ke bawah. Mukanya dikerutkan seolah - olah benci dengan apa yang dilihatnya. Dia tidak tahu apa tujuan gadis yang berjubah dan bertudung labuh itu duduk semeja dengannya namun hatinya kuat mengatakan gadis itu hanya mahu menyindirnya secara halus. Mungkin dia mahu dilihat sebagai calon isteri solehah oleh lelaki - lelaki yang memandang. Dya memang sudah masak dengan perangai wanita - wanita seperti ini. Mereka suka mencari publisiti murahan dengan menampakkan mereka lebih baik dan berharga daripada orang lain.

"Sorry, tempat lain dah penuh."

Dya menoleh ke kiri dan ke kanan. Memang betul apa yang dikatakan gadis itu. Meja - meja di situ memang semuanya sudah diduduki orang.

"Duduklah." Dya akhirnya mengalah.

"Terima kasih. Saya Maisarah. Awak?" Dya meletakkan penanda buku pada helaian yang sedang dibacanya lalu memasukkan buku itu ke dalam beg. Raut wajahnya kelihatan bengang.

"Tell me Maisarah, aren't you going to say anything about what I wear?" Dya mengisyaratkan kepada blaus berpetak yang tersarung ketat pada badannya. Hari ini dia hanya mengenakan blaus labuh paras pinggul dan kain biru yang beropol - ropol. Rambutnya yang dicat perang muda dibiar tidak bertutup.

Maisarah kelihatan terkejut apabila disoal seperti itu.

"Tak. Kenapa? Ada yang salah ke?" Suaranya lembut sekali.

"Well, I don't know. Aren't you supposed to preach about aurat or something?" Wajah Maisarah masih tenang.

"Awak dah tahu pasal aurat so tak perlulah saya ulang lagi sekali. Lagipun, saya percaya awak dah besar untuk nilai sendiri apa yang baik untuk awak," tutur Maisarah dengan berhati - hati. Senyuman manis terukir pada bibirnya.

"That's not what my followers think. Hari - hari sibuk komen kat my instagram, suruh tutup auratlah, apalah. I was like 'Dude, I can think for myself'. Why do they have to force their own ideas on me?" rungut Dya.

"Mungkin mereka tegur sebab mereka sayang kat awak."

Dya tergelak mendengar jawapan itu. Tidak mungkin mereka menyayanginya sedangkan mereka tidak pernah berjumpa pun dengannya. Itu sesuatu yang mustahil. Dia sudah lama tidak ambil peduli tentang mereka. Orang - orang seperti ini hanyalah ustaz - ustazah yang berlagak alim di laman sosial untuk mencari perhatian sedangkan diri mereka sendiri lebih kurang sama sahaja. Mereka tidak boleh melihat kecantikan orang lain kerana cemburu akan kelebihan yang tidak mereka miliki.

"Sayang? Jealous is more like it."

"Mungkin. Tapi nasihat yang baik masih boleh diamalkan walaupun daripada orang yang jahat sekalipun. Kata Sayyidina Ali, seorang sahabat Rasulullah, 'Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihatlah apa yang dikatakannya'. Jika isinya baik, apa salahnya kita ambil jadikan panduan. Awak tak rasa macam tu?"

Dya menyilangkan tangan pada dadanya. Wajahnya menunjukkan reaksi tidak puas hati.

"Diorang kan geng awak. Mestilah awak back-up diorang."

Maisarah ketawa kecil. Matanya yang bulat kelihatan bersinar - sinar. Dya tidak hairan jika gadis seperti Maisarah mempunyai ramai peminat di sini. Maklumlah, gadis yang berbungkus elok adalah spesies yang jarang dapat dilihat di kampus ini.

"Awak, sebagai wakil 'geng' saya, saya nak mintak maaf dengan awak kalau ada teguran ahli - ahli geng saya yang buat awak sakit hati. Kami tak berniat macam tu pun. Niat kami ikhlas nak jaga saudara - saudara kami. Pada pandangan peribadi saya, saya rasa semua gadis sebenarnya lagi cantik kalau pakai pakaian yang labuh sikit. Nampak macam sopan je. Awak rasa macam mana?"

"Nampak panas," komen Dya jujur.

Maisarah ketawa lagi. Dya dapat merasakan dia sudah mula menyukai Maisarah. Dia berbeza dengan gadis - gadis alim lain yang hanya tahu apa yang ada dalam lingkungan mereka sahaja. Fikiran mereka tidak terbuka. Mereka juga tidak cuba untuk berkomunikasi dengan orang yang berada di luar lingkungan mereka. Mereka seakan - akan hidup dalam dunia mereka sendiri.

"Belum cuba belum tahu."

Dya tersedar daripada lamunannya. Senyuman di bibir cepat - cepat dihapuskan, bimbang dituduh gila. Tangannya dihulur untuk mencapai tas tangan lalu dengan langkah yang pantas, dia beredar meninggalkan kelab tanpa menoleh lagi.

No comments: