Sunday, June 28, 2015

Cinta Teragung (Bab 3)

BAB 3

Amalina mendongak ke arah langit yang dilindungi oleh gumpalan awan yang menghitam. Cahaya daripada bulan kelihatan samar - samar kerana dihalang oleh litupan awan yang kian menebal. Dahulu dia dan abi selalu keluar ke balkoni rumah mereka pada setiap malam ke lima belas untuk melihat bulan mengambang. Menurut abi, bulan adalah salah satu ciptaan Allah yang paling indah. Mungkin dulu dia tidak memandang tabiat itu sebagai sesuatu yang istimewa tetapi dalam keadaannya sekarang, tiap - tiap waktu yang diluangkan bersama abi adalah saat yang bermakna buatnya.

Amalina menghulurkan tangan. Titisan hujan masih dapat dirasai pada tapak tangannya. Nampaknya dia terpaksa meredah hujan jika dia mahu kembali ke mahallah sebelum jam menginjak ke angka sebelas. Dia tidak boleh berlengah - lengah lagi. Telefon dikeluarkan daripada beg. Applikasi Flashlight dibuka. Kasut yang dipakainya berdecit - decit apabila dia bergerak meninggalkan pondok menunggu bas yang menjadi tempatnya berteduh sejak setengah jam yang lalu.

Dia baru bergerak beberapa langkah apabila pancaran lampu yang terang menyala dari arah belakang menerangi kegelapan yang pekat di hadapannya. Dia menoleh. Seorang lelaki berkopiah dan berbaju sejuk keluar dari tempat duduk penumpang. Dia dengan mudah dapat mengecam siapa lelaki itu walaupun wajahnya hanya samar - samar kelihatan.

"Sister, ada masalah ke? Saya..." Kata - kata Rayyan terhenti apabila Amalina berpusing ke arahnya. Buat beberapa saat, dia hanya merenung dengan mulut yang terbuka tanpa berkata apa - apa.

"Apa awak buat kat sini?" soalnya. Nadanya drastik berubah.

"Saya nak balik," balas Amalina ringkas lalu tunduk menghadap jalan yang diterangi cahaya lampu. Pandangannya jatuh pada payung panjang Petronas yang dipegang oleh Rayyan. Amalina mengeluh. Bilalah suaminya itu akan berhenti cuba untuk menjadi hero.

"Kenapa tak telefon?" Keras suara Rayyan menyoalnya.

Amalina mengangkat muka lalu memandang pemandu kereta Kancil berwarna biru tua itu sekali lalu sebelum mengalihkan pandangan. Cermin hadapan yang dilinangi titisan hujan mengaburkan rupa pemandu kereta itu. Dia tidak yakin dia kenal siapa yang berada di sebalik cermin itu. Rayyan turut menoleh. Menyedari pandangan itu ditujukan kepada Khalil, Rayyan melontarkan isyarat kepada sahabatnya yang masih berada di dalam kereta agar memberi mereka masa untuk bercakap.

"Naik. Saya hantar." Nadanya berbaur arahan.

Amalina membeliakkan matanya.

"Naik?" ulang Amalina. Wajah Rayyan yang mula dibasahi hujan direnung tidak berkelip.

"Kenapa?"

"Saya rasa tak perlu kot. Bukannya jauh pun." Amalina menuding ke arah bangunan kediamannya yang kelihatan berbalam - balam diselaputi kegelapan malam. Senyuman yang memang jelas kelihatan tidak ikhlas dipaksa keluar untuk meyakinkan suaminya yang dia memang tidak memerlukan sebarang pertolongan.

"Dekat tak dekat pun, naik je. Kawan saya ada nak jumpa orang kat sana."

Amalina terdiam. Kereta Kancil itu dipandang sekali lagi. Kemudian, pandangannya beralih pada jubah berwarna kelabu yang membaluti tubuhnya. Jubah itu sudah basah dari bahagian pinggang ke bawah. Apa pula kata kawan Rayyan nanti jika dia masuk dengan pakaian yang basah kuyup dari atas ke bawah.

Sebelum mulutnya dapat membantah, Rayyan sudah terlebih dahulu berpatah balik lalu membuka pintu tempat duduk belakang. Amalina sempat menghela nafas berat sebelum dia menghampiri pintu kereta. Sebaik pintu ditutup, kesejukan pendingin hawa menyerbu sehingga ke tulang - temulangnya. Dia merapatkan badan. Tangannya disilang pada dada untuk mengalirkan haba ke bahagian itu.

"Awak tengah buat apa kat situ?" soal Rayyan sebaik kereta mula bergerak.

"Niat nak tunggu hujan berhenti tapi lama sangat."

Amalina menghembus nafas. Tangannya diusap - usap untuk mengembalikan haba pada tangannya yang dirasakan seperti sudah membeku. Di luar, hujan masih tidak berhenti - henti turun. Buat beberapa ketika hanya bunyi wiper yang kedengaran sehinggalah Rayyan bersuara sekali lagi.

"Lain kali kalau ada apa - apa, telefon."

Amalina mengangguk akur. Mulutnya terasa berat untuk bersuara. Kepalanya disandarkan sedikit pada tempat duduk dengan mata yang terpejam. Apabila dia membuka mata, pandangannya bertembung dengan mata pemandu kereta itu melalui cermin hadapan. Kepalanya cepat - cepat diangkat.

"Ustaz Alwi sihat ke?" lelaki itu bersuara untuk menutup kejanggalannya. Dahi Amalina berkerut. "Ana student dia. Dulu ana satu sekolah dengan Rayyan," terang lelaki itu. Matanya masih tidak berganjak daripada stering kereta.

Amalina mengangguk. "Dia sihat, alhamdulillah."

Rayyan menjenguk ke arah tempat duduk belakang.

"Awak ada telefon dia ke?"

"Ha'ah," balas Amalina pendek. Dia tidak berniat untuk memberitahu mereka tentang masalahnya dengan abi. Biarlah itu menjadi rahsia antara dia dengan Rayyan. Dia tidak mahu kawan Rayyan salah anggap tentang mereka.

Titisan hujan sudah mula menipis apabila mereka tiba di hadapan pagar mahallah. Amalina menggantung beg pada bahunya, mengucapkan terima kasih lalu membuka pintu untuk keluar. Kakinya cepat - cepat dihalakan ke pagar. Bunyi pintu kereta dibuka membuatkan dia berpusing seketika. Rayyan sudah berada di luar kereta, keningnya terangkat seolah - olah cuba memberitahu yang dia ada terlupa sesuatu.

Wajah Amalina berkerut. Beg yang tersangkut pada bahunya diraba untuk memastikan dia memang sudah mengambilnya tadi. Rayyan menyuakan tangannya, mengakhiri kekeliruan Amalina.

"Jaga diri. Kalau ada masalah apa - apa, beritahu."

"Okay." Kesejukan tangan lelaki itu dapat dirasai pada dahinya.

Rayyan melepaskan tangan Amalina apabila dia terdengar suara Khalil memanggilnya dari dalam kereta. Dia berpusing lalu menjenguk ke dalam melalui tingkap yang dibuka sedikit. Fail yang dihulurkan Khalil dipandang dengan kening yang berkerut.

"Boleh tak mintak tolong Amalina serahkan fail ni kat Mawaddah? Ana rasa tak manis pulak kalau ana jumpa dia malam - malam macam ni."

Fail berwarna hijau itu disambutnya.

"Apa ni?" soal Amalina apabila fail itu diserahkan kepadanya.

"Tolong bagi fail ni kat Mawaddah. Awak kenal Mawaddah kan?"

Amalina mengangguk. Bohonglah kalau dia mengaku tidak mengenali Mawaddah. Di sekolah, nama Mawaddah sentiasa disebut - sebut termasuklah oleh orang - orang yang tidak suka dengannya. Dengarnya dulu Mawaddah mempunyai ramai peminat. Dia tertanya - tanya sama ada Rayyan adalah salah seorang daripadanya.

"Kenapa? Apa ada dalam ni?"

Rayyan mengangkat bahu.

"Entah. Beritahu dia Khalil yang bagi."

"Khalil?"

"Khalil, kawan saya." Rayyan menjeling ke arah lelaki yang berada dalam kereta.

Muka Amalina berkerut. Isi kandungannya tentu penting. Jika tidak, tidak mungkin kawan Rayyan tidak boleh menunggu sehingga esok untuk menyerahkannya kepada Mawaddah. Bahagian hadapan fail itu ditilik - tilik untuk mengetahui isi kandungannya. Malangnya, tiada sebarang perkataan pun yang tertulis di situ untuk menjawab persoalannya.

"Tapi..."

Kata - kata Amalina terhenti apabila terpandang wajah Rayyan. Dia menarik nafas lalu mengangguk lambat - lambat. Sebentar sahaja kereta itu sudah hilang daripada pandangan.

Amalina merapatkan fail ke badannya lalu melangkah melepasi pondok pengawal untuk kembali ke bilik. Ruangan bilik Khalisya dan Humaira kelihatan gelap sewaktu dia sampai. Afza yang sedang khusyuk menelaah memanjangkan tengkuk untuk menjenguk apabila terdengar bunyi pintu dibuka. Wajahnya kelihatan lega apabila Amalina muncul dari sebalik pintu.

"Hang pergi berendam kat mana Mina oii?"

Amalina tersengih. "Kat bus stop tu je. Nanti kalau ada masa, kita pergi berendam berjemaah ya."

Beg dan fail diletakkan ke atas meja. Nafas dihela berat apabila terpandang baju kotor yang bertimbun di dalam beg laundry. Sarung kaki hitam yang sudah basah ditanggalkan lalu dicampak masuk. Selepas menggantikan pakaian dengan sepersalinan yang baru, dia merebahkan badan ke atas katil. Hajat untuk melelapkan mata terbantut apabila teringat akan latihan tutorial yang baru disiapkan separuh petang tadi.

"Mina." Suara Afza sayup - sayup kedengaran.

"Ya?" Separuh matanya dibuka.

"Mina, Mina, Mina."

"Ya. Apa dia sayang?" Posisi duduknya diubah agar dapat menghadap Afza yang sudah berada di atas kerusi di meja belajarnya.

"Takpelah. Kesian Mina. Macam penat je."

Amalina tersenyum lesu. "Cerita jelah."

Afza menggaru batang tengkuknya. Beberapa kali dia membuka mulut untuk bersuara namun niatnya bagaikan dihalang oleh sesuatu. Amalina sabar menunggu. Wajah Afza yang kelihatan gelisah direnung dengan sepenuh perhatian.

"Kalaulah, for instance..." Afza menelan liurnya sebelum menyambung "...kita nampak orang buat maksiat, terang - terangan depan kita, tapi kita tak cakap apa - apa pun. Mina rasa macam mana? Berdosa ke?"

Amalina menarik nafas.

"Ada tiga cara untuk cegah maksiat. Pertama, dengan tangan. Kedua, dengan lidah. Ketiga, dengan hati. Dan yang ketiga itu adalah serendah - rendah iman."

Afza mengangguk setuju.

"Takkan kita, orang mukmin yang mengharapkan syurga Allah, nak berpuas hati dengan tahap tu je? Allah dah kurniakan kita nikmat bersuara, adakah dengan cara kita membisu macam tu kita boleh tunjukkan yang kita bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi?" Amalina menarik nafas sebelum menyambung.

"Kita tak boleh fikir nak selamatkan diri kita je. Islam bukan macam tu. Dalam Islam, kita semua bersaudara. Itu sebabnya kita kena ada perasaan sayang antara satu sama lain. Bila kita sayang, kita akan tegur. Tegur tu tanda kita sayang. Kita tegur supaya orang tu berubah dan tinggalkan maksiat yang dia buat. Macam tulah bersaudara dalam Islam."

Wajah Afza ditenung. Menyedari dirinya menjadi sasaran pandangan Amalina, Afza tunduk. Jari jemarinya ligat memintal - mintal rambut separa bahunya. Amalina tahu soalan ini ditujukan kerana apa, atau lebih tepat lagi kerana siapa. Sejujurnya dia juga turut berdepan dengan masalah untuk berterus - terang jadi nasihat ini sedikit sebanyak turut ditujukan kepada dirinya sendiri.

"Macam mana kalau kita bukan orang yang sepatutnya tegur dia? I mean, kita dahlah banyak dosa, ada hati pulak nak tegur orang." Nada Afza sedikit berbaur kecewa.

"Banyak dosa atau tak bukan soalnya. Kalaulah ditakdirkan Allah dia mati dalam maksiat semata - mata sebab kedegilan kita yang nak tunggu ustaz ustazah datang dulu untuk dakwah dia, macam mana kita nak menjawab depan Allah nanti?" Kebisuan Afza memberi peluang kepada Amalina untuk terus menyambung hujahnya.

"Lagipun, tak semestinya kalau orang alim yang tegur dia, dia akan terus berubah sebab hidayah tu milik Allah, bukan milik manusia. Kita cuma boleh usaha setakat yang mampu. Kadang - kadang, nasihat terbaik adalah daripada orang yang pernah ada dekat tempat tu sendiri," akhiri Amalina dengan sayu.

Selepas menamatkan perbualan dengan Afza, Amalina menghampiri meja belajarnya lalu menilik fail yang diberikan Rayyan tadi. Rambutnya ditolak perlahan dengan keluhan kecil. Dia tidak tahu sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan dengan Mawaddah. Sangkanya mereka sudah memilih dua arah yang bertentangan. Dia tidak sangka takdir akan menemukan dia dengan Mawaddah sekali lagi di sini.

*

Jam di atas meja belajar menunjukkan angka satu. Amalina berpusing untuk mengiring ke arah kiri. Selimut yang tadi berada di hujung kakinya sudah ditendang jatuh daripada katil. Sambil menggosok matanya yang berair, dia menghulurkan tangan untuk mencapai telefon yang berada di atas meja belajar. Sebaik ditekan, cahaya daripada skrin memancar terang menerangi bilik. Jarinya laju ditekan pada mesej yang belum dibaca.

Sebaik selesai membaca mesej itu, keluhan automatik keluar daripada mulutnya. Mesej daripada Mawaddah itu benar - benar membuatkan jiwanya berasa sesak.

Amalina bangun daripada pembaringan. Buku Calculus dicapai. Dia baru sahaja sempat membelek dua muka surat sebelum telinganya menangkap bunyi pintu bilik dibuka. Dia bangun lalu menjengah dari tirai yang memisahkan biliknya daripada ruangan luar. Seorang gadis muncul dari balik pintu. Apabila mata mereka bertembung, gadis itu hampir - hampir terlepas beg plastik yang berada dalam genggamannya.

"Terkejut aku tau tak. Kenapa tak tidur lagi?" Suaranya kedengaran seakan - akan marah.

Amalina mengangkat bahu.

"Entah. Tak mengantuk. Kak Isya baru balik ke?"

"Ha'ah," balasnya pendek sebelum berjalan melepasi Amalina ke biliknya.

"Dah makan?"

"Dah, makan dengan kawan tadi."

Amalina kembali ke katil. Matanya cuba dikatup rapat, memaksa dirinya untuk tidur namun perbualan telefon yang sayup - sayup kedengaran dari bilik Khalisya itu mengganggu ketenangannya. Dia diburu kegelisahan memikirkan kepada siapakah ayat - ayat yang sarat unsur seksual itu ditujukan. Dia tahu sangka baik juga ada hadnya. Khalisya masih anak dara jadi mustahil ayat - ayat seperti itu ditujukan kepada suaminya.

Matanya dipejam sekali lagi. Dengan dengusan nafas yang kuat, dia bangun lalu menarik bantal untuk menutup telinganya. Ya, dia memang lemah. Dia hanya lantang bercakap sedangkan realitinya, dia juga sama seperti Afza yang hanya mampu membenci dengan hati.

Awak comel sangat. Pakai tudung labuh macam ni pun dah macam artis, kalau tak pakai tudung lagilah kan.

"Ya Allah, kenapa kau buat aku ingat benda - benda ni lagi?" rintih Amalina. Air matanya mengalir turun.

No comments: