Friday, March 27, 2009

Music Is Me (Bab 1)

BAB 1

"Taufiq, tolong letak buku - buku ni kat meja saya ya," pinta cikgu Azira sebaik tamat sesi pembelajaran.

Taufiq mengangguk geram. Buku - buku latihan matematik yang tingginya lebih kurang separuh daripada badannya dipandang dengan pandangan meluat. Bahu Reza, kawan baik sehidup sematinya, disiku kasar untuk mengalih perhatian lelaki itu daripada perbincangan hangat mereka. Reza menoleh ke arah Taufiq, kemudian ke arah buku yang berada di atas meja guru sekilas sebelum merebahkan kepalanya ke atas meja sambil berpura - pura berdengkur.

Taufiq mendengus. Tak guna punya kawan. Sebelum pergi, sempat dihadiahkannya sebuah penumbuk yang tepat mengenai kepala finalis sahabat mithali itu.

Dengan langkah yang diatur seperti ketam yang baru belajar berjalan, Taufiq bergerak ke arah bilik guru. Buku - buku itu ditatangnya seperti minyak yang penuh. Sebaik tiba di koridor yang menghala ke arah destinasi yang hendak ditujui, kakinya secara automatik terhenti. Serentak air liurnya ditelan. Koridor yang dimaksudkan itu turut menempatkan bilik muzik yang kaya dengan pelbagai kisah dongeng dan mitos pelajar dahulukala. Malah, tempat itulah yang dicanang - canang sebagai tempat yang paling keras di sekolah ini. Ada khabar angin yang mengatakan seorang pelajar pernah mati terperangkap di dalam lubuk puaka itu. Sejauh mana kebenarannya masih tidak dapat diketahui.

Sedang Taufiq berkira - kira untuk tawaf satu bangunan bagi mengelak daripada melalui koridor itu, bunyi piano dari dalam bilik muzik itu menyapa telinganya. Hatinya sudah mula berbelah bahagi. Dia tahu jika dia terus membuka langkah untuk memecut, buku - buku yang dipegangnya sudah pasti terlepas daripada pegangannya. Setelah beberapa minit berperang dengan perasaan sendiri, Taufiq akhirnya meletakkan buku - buku yang dipegangnya ke atas lantai lalu menghampiri tingkap bilik itu yang terbuka untuk memulakan penyiasatan.

Matanya tertumpu ke arah seorang perempuan yang sedang duduk membelakanginya. Dari tempatnya berdiri, kelihatan jari jemari perempuan itu tangkas menekan papan kekunci piano di hadapannya. Dia sudah berkira - kira untuk menegur perempuan itu apabila suara Cikgu Badri bergema memecahkan gendang telinganya.

Setelah selesai sesi soal - siasat bersama Cikgu Badri, dia kembali mengintai melalui celahan tingkap yang sama. Hasratnya untuk mengetahui siapa pemain piano itu tidak kesampaian kerana perempuan itu sudah tiada lagi di situ. Dia pulang semula ke kelas dalam keadaan hampa.

Nyanyian Reza terhenti apabila sahabatnya masuk ke kelas dengan muka masam mencuka. Tangannya secara automatik menggosok - gosok bahagian kiri kepalanya yang ditumbuk Taufiq tadi. Sakitnya masih terasa.

"Kau kenapa? Takkan marah lagi kot."

Taufiq melepaskan keluhan kecil.

"Tadi, aku nampak lembaga misteri main piano kat bilik muzik. Masalahnya aku tak tahu..."

Mata Reza terbeliak luas.

"Kau biar betul?" Taufiq menjauhkan telinganya daripada Reza. Mamat yang satu ini memang tidak pandai mengawal volume suaranya. Bercakap seperti sebatu jauh lagaknya.

"Aku serius. Nampak macam perempuan tapi, entah, aku tak nampak pun muka dia," jelas Taufiq. Entah kenapa dia tidak senang duduk selagi dia tidak dapat memastikan dengan jelas apa atau siapa pemain piano itu.

"Nasib baik kau tak nampak. Kalau tak, aku jamin kau dah berbuih mulut kat situ mati katak," balas Reza lalu ketawa terbahak - bahak. Taufiq merengus.

"Kau buat lawak, kau sorang yang gelak."

Gelak ketawa Reza masih belum menunjukkan tanda - tanda mahu berhenti sehinggalah Ariel datang ke meja mereka. Wajahnya kelihatan agak tegang, tidak seperti kebiasaannya.

"Fiq, kau tahu kan hari ni ada meeting dengan semua player?"

Taufiq mengangkat bahu.

"Aku tak tahu," akuinya jujur.

"Pukul 3 kat court. Kau pun kena datang Reza." Ariel berlalu meninggalkan mereka sebelum sempat Reza membantah.

"Bukan kau ke team leader? Apsal kau tak tahu?" soal Reza.

Taufiq mengangkat bahu. Walaupun sekejap lagi semua orang akan tahu juga, dia tidak berminat untuk memberitahu Reza akan hal itu lebih awal daripada orang lain. Biarlah mereka semua tahu akan hal pelucutan jawatannya itu serentak. Dia tidak mahu menerima pandangan simpati daripada Reza di sini. Sekurang - kurangnya apabila berita itu diumumkan di khalayak ramai, dia boleh mengelak daripada menjawab pertanyaan ahli - ahli pasukan yang lain kerana mereka pastinya akan sibuk mengucapkan tahniah kepada Ariel yang akan dilantik untuk menggantikannya nanti.

Masih segar di ingatannya saat dia dipanggil oleh Coach Haziq untuk bercakap soal ini. Pada waktu itu, dia sudah dapat mengagak ada sesuatu yang telah berlaku melalui raut wajah lelaki yang berumur dalam lingkungan lewat 20an itu. Kepelikan itu bertambah apabila dia diberitahu hanya dia dan Ariel yang dipanggil untuk berjumpanya pada sesi petang itu. Ariel hanya menundukkan wajah tatkala berita itu disampaikan oleh Coach Haziq. Hendak memandang matanya pun dia tidak sanggup.

Ariel ada datang berjumpanya untuk memohon maaf sehari selepas itu. Menurutnya, ayahnya, Datuk Amrilah orang yang bertanggungjawab mengatur perkara ini. Dia telah menggunakan kuasanya sebagai sponsor utama kelab mereka untuk meletakkan Ariel di kedudukan yang dikehendakinya. Sejujurnya Taufiq tidak faham bagaimana seseorang yang kaya dan berpengaruh seperti Datuk Amri mempunyai masa untuk melakukan sesuatu yang remeh seperti itu. Banyak lagi benda yang lebih penting yang dia sepatutnya runsingkan. Apalah sangat dengan jawatan Kapten Team Bola Keranjang. Itu semua duniawi belaka.

Taufiq sendiri tidak pernah ambil pusing dengan jawatan itu. Kapten atau tidak, dia tetap akan bermain seperti biasa namun selepas dua tahun memegang jawatan kapten, pelucutan jawatan ini mungkin akan memberi impak kepada imejnya sebagai pemain.  


2 comments:

Anonymous said...

salam..
1st time jenguk blog ni..
nice story, nice blog..
hehe..

nk mntak izin utk ltak link blog ni kat blog sy... leh ye?? =)

masZ eLastica said...

of coz..