Thursday, March 12, 2009

Stand Together (Bab 4)

BAB 4


Selepas kejadian itu, Dya sudah tidak lagi menghadiri mana - mana kelas. Sudah tiga hari dia hanya berkurung di rumah tanpa melakukan apa - apa. Ibunya sudah menyediakan surat untuk memberi pelepasan kepadanya daripada menghadiri kelas yang seperti biasa, mengundang kemarahan besar ayahnya. Di mata Encik Ismadi, Dya hanyalah anak manja yang hanya tahu menyusahkan ibu bapa. Dya tahu lelaki itu hanya mencari alasan untuk memarahinya. Apa yang dia lakukan semuanya kelihatan tidak elok pada pandangan mata ayahnya sehinggakan dia sudah berputus asa untuk berdamai kembali dengan lelaki itu.

"Cik Dya, Cik Farhana nak jumpa." Suara nyaring pembantu rumah mereka mengejutkan Dya daripada lamunannya. Dya bangun lalu menyandarkan badannya pada kepala katil lalu mengeluarkan keluhan kecil. Dahinya diurut perlahan untuk mengurangkan sakit kepalanya.

"Panggil dia masuk," arah Dya. Suaranya serak sedikit akibat terlalu lama menangis.

Dya meletakkan novel cinta yang dibacanya ke atas meja. Comforter tebal yang menyelimuti tubuhnya ditolak sedikit ke bawah lalu menampakkan badannya yang hanya tersarung gaun tidur. Tidak lama selepas itu, biliknya diketuk. Farhana melangkah masuk dengan wajah yang garang. Farhana, sepupu dan juga kawan baiknya sejak kecil itu, adalah satu - satunya kawan berbangsa Melayu yang dimilikinya. Mereka dibesarkan bersama, jadi tidak hairanlah Farhana adalah satu - satunya kawan yang dapat memahami isi hatinya hanya dengan sekali pandang.

"Apesal dengan kau ni Dya? Kena kutuk sikit, dah drama segala. Kau ingat bila kau buat macam ni,  mamat tu kisah? Kau ingat dia nak mintak maaf dengan kau?" bentak Farhana keras.

"Kau pulak datang rumah aku, jerit - jerit bagai. Apa masalah kau?" balas Dya. Matanya mengekori batang tubuh Farhana yang sedang mundar - mandir di hadapannya. Dia tahu ini adalah salah satu cara Farhana untuk memulihkan semangatnya. Sejujurnya dia amat berterima kasih namun buat masa ini dia lebih rela hidup begini. Dia tidak mahu melihat muka lelaki itu lagi, apatah lagi bertentang mata dengannya.

"Janganlah jadi manja sangat. Dah dia cakap camtu, kau balaslah balik. Lagipun, bukannya teruk sangat apa yang dia cakap tu." Kata - kata Irwan kembali terngiang - ngiang di telinga Dya. Ada betulnya apa yang dikatakan Farhana. Namun, bukan itu sebabnya dia bertindak seperti ini. Dia melakukan semua ini kerana dia malu pada dirinya sendiri. Egonya yang setinggi langit sudah tercalar.

Farhana menghampiri Dya lalu menepuk - nepuk bahu sahabatnya itu apabila dilihatnya gadis itu hanya diam membisu. Dia sudah sedia maklum yang Dya agak sensitif orangnya. Hatinya mudah sekali terluka. Sekali dia dilukai, memang susah untuk dia memaafkan orang yang melukakannya namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap nekad seperti ini. Dia harus menyedarkan Dya yang perbuatannya ini tidak akan menguntungkan sesiapa pun, malah yang lebih parah lelaki itu selama - lamanya tidak akan sedar apa yang telah dilakukannya. 

"Hidup kita memang macam ni Dya. Nasihat aku, suck it up and deal with it."

Dya tahu semua itu. Memang dia telah berusaha untuk melakukannya tetapi apabila terkenangkan maruahnya yang tercalar dek teguran itu, segala kekuatan yang ada bagaikan terus terbang meninggalkannya. Otaknya terbayang - bayang imej Irwan dan kawan - kawannya yang sedang mentertawakan dirinya di dewan kuliah. Semua itu bagaikan satu mimpi ngeri yang mencabut seluruh kekuatannya satu persatu.

Setelah berkali - kali dipujuk oleh Farhana, Dya akhirnya memilih untuk memberi Irwan 'benefit of the doubt' kerana dia tahu sedegil - degil dirinya, Farhana jauh sepuluh kali lebih degil. Untuk memulihkan semangatnya, petang itu mereka ke pusat membeli - belah.

Mereka ditemani oleh Syamil, teman lelaki Farhana yang bertindak sebagai pengawal peribadi mereka. Sesuai dengan sifatnya yang digambarkan sebagai pendiam oleh Farhana, Syamil tidak banyak bercakap sepanjang sesi membeli - belah namun sekali - sekala keluar juga bantahan kecil daripada mulutnya apabila diminta melakukan sesuatu yang mencabar kelelakiannya.

Terus terang Dya katakan mereka memang kelihatan tidak serasi bersama. Pada pandangannya mereka lebih selayaknya mempunyai hubungan adik dan kakak kerana apabila mereka berdiri bersama, Farhana kelihatan beberapa tahun lebih tua daripada teman lelakinya. Dia hairan kenapa Syamil sanggup bersama Farhana sedangkan jika hendak dibandingkan Farhana dengan dirinya, dia sememangnya jauh lebih baik daripada Farhana dalam setiap aspek. Untuk menguji sejauh mana kesetiaan Syamil kepada Farhana, Dya ada cuba - cuba untuk menarik perhatian Syamil dalam diam namun lelaki itu kebiasaannya tidak memandang ke arah mereka lebih daripada sesaat. Setelah sekian lama menunggu, peluang akhirnya datang ketika Farhana meminta diri untuk ke tandas lalu meninggalkan mereka berdua menunggunya di meja makan.

Dya mengubah posisinya untuk berada lebih hampir dengan Syamil yang berada di sebelah kiri meja. Rambut ikalnya yang bercalit warna coklat gelap dialihkan ke belakang untuk mendedahkan leher jinjangnya. Dengan senyuman yang menawan, dia berdehem kecil untuk menarik perhatian Syamil. Lelaki itu mendongak lalu tunduk kembali sambil menelan liurnya.

"You dengan Farhana dah berapa lama? Dah ada plan nak, you know, marriage, that sort of thing?" Syamil kelihatan berfikir panjang untuk menjawab soalannya.

"Hubungan ni masih baru. Saya dengan Farhana, kitorang tak..."

"Good," pintas Dya lalu tersenyum. Bulat mata Syamil memandangnya.

"Oh, jangan salah faham! Bukannya saya tak suka awak dengan Farhana. Saya suka. Terlebih suka, in fact. Tapi saya lebih suka awak." Kata - kata itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan Syamil tersedak chocolate smoothie yang baru diminumnya.

Sewaktu menghulurkan tisu kepada Syamil untuk mengelap kotoran pada seluarnya, Dya mengambil kesempatan untuk melalukan jari jemarinya pada tangan Syamil. Hatinya bersorak riang apabila perlakuan itu dibiarkan sahaja tanpa bantahan. Jika tidak kerana kehadiran Farhana, Dya pasti pada saat itu juga Syamil akan jatuh ke tangannya. Nasibnya baik kerana Farhana tidak mengesyaki apa - apa yang mencurigakan berlaku.

"Boyfriend kau ni cutelah. Macam budak - budak," perli Dya dengan suara yang sengaja ditinggikan.

Merah padam muka Syamil mendengarnya. Dya tersenyum sinis. Sebenarnya dia langsung tidak berminat dengan lelaki berwajah jambu seperti Syamil, niatnya yang sebenar hanyalah untuk menguji sama ada gadis seperti dia atau Farhana yang lebih didambakan kaum lelaki. Hatinya puas apabila mendapat jawapan yang diingininya.

#

"Yang mana satu?"

Irwan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya. Dia cuba untuk tidak kelihatan terlalu ketara supaya si gadis tidak sedar bahawa mereka sedang memperkatakan tentang dirinya. Faiz dan Izzat menoleh ke arah yang ditunjukkan sekilas sebelum segera mengalihkan pandangan. Si gadis masih tidak perasan dek terlalu khusyuk menelaah buku tarbiyyah karangan Imam Hasan al-Banna. Sesekali matanya menjenguk ke atas untuk mengiakan kata - kata sahabatnya. Hujung tudung biru laut yang dipakainya berterbangan ditiup angin. Entah kenapa apabila melihat wajah jernih tanpa sebarang calitan mekap itu, hati Irwan menjadi tenang.

Sudah lama dia perhatikan gadis itu lalu - lalang di sini namun keberanian bagaikan diragut daripada hatinya tatkala dia ingin menegur atau berbual mesra dengan si dia seperti yang biasa dilakukannya dengan gadis - gadis lain. Baginya, gadis ini istimewa. Kesolehahan si gadis membuatkan dia segan untuk memandang lebih daripada keperluan, apatah lagi untuk bercakap perkara yang belum tentu akan dihargai oleh pihak di sebelah sana. Hal urusan pertunangan biarlah diselesaikan oleh ahli keluarganya. Dia tidak mahu masuk campur.

"Boleh tahanlah," komen Izzat pendek sambil menyedut teh aisnya.

"Boleh tahan? Kau punya standard tu banyak larilah bro. Kalau nak kahwin, perempuan macam nilah yang kita kena cari. Cantik, sopan, bijak. Baru selamat dunia akhirat." Izzat menarik muka menunjukkan reaksi kurang senang dengan kata - kata Faiz.

"Kau tu solat jemaah kat masjid pun tak. Ada hati nak dapat isteri macam tu. Balik rumah tengok cermin dululah kawan."

Irwan diam tidak memberi sebarang ulasan. Dia tahu dia juga sebenarnya tidak layak untuk bersama gadis seperti Maisarah namun dia berjanji akan mencuba yang terbaik untuk membahagiakan gadis itu. Dia yakin sekiranya mereka memang telah ditakdirkan untuk bersama, segala - galanya akan dipermudahkan oleh Allah. Insya Allah.

No comments: