Sunday, May 31, 2009

Rahsia (Bab 2)

BAB 2

Senyuman terukir pada wajah tua Sameha apabila kelibat gadis tinggi lampai yang sedang menarik bagasi mengisi ruang matanya. Air mata kegembiraan yang mengalir disapunya cepat - cepat dengan lengan baju. Akhirnya, dia sudah boleh menghembus nafas lega. Janji kepada arwah majikannya sudah berjaya ditunaikan. Bayi yang dahulunya hanya pandai menangis dan ketawa sekarang sudah membesar sebagai gadis yang lengkap ilmu di dada.

"Ma, ni Syafiqah, best friend Farah," kata gadis itu sambil menuding ke arah sahabatnya. Gadis yang berusia dalam lingkungan 20-an itu pantas mennyambut huluran tangan Sameha. Berbeza dengan Farah, gadis itu kelihatan agak periang orangnya.

Anak mata Farah sempat mencuri pandang ke arah Fitri yang sedang berjalan beriringan dengan sepupunya Faiz. Apabila pandangan mereka bertembung, dia cepat - cepat mengalihkan pandangan. Dia tidak mahu memberikan lelaki itu sebarang kepuasan, bimbang nanti lain pula jadinya.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, dia tidak banyak bercakap, hanya sekadar mendengar apa yang diberitahu oleh ibunya tentang perkembangan adik - adiknya yang lain. Matanya leka memerhatikan pemandangan dari tingkap. Hutan belantara di kiri kanan jalan masih sama seperti dulu, masih tidak dicemari oleh kemodenan bandar. Apabila mereka tiba di Kota Bharu keesokan harinya barulah Farah dapat melihat bangunan - bangunan baru yang melatari ruang di sepanjang jalan. Memang benar kata Syafiqah, banyak perubahan sudah berlaku.

#

"Farah, ada orang nak jumpa," panggil Sameha.

Farah melangkah lesu dari biliknya. Rambutnya yang kusut masai disanggul dengan cermat. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Sameha. Di hadapan mereka berdiri seorang lelaki yang melihatkan gaya pemakaiannya mungkin seorang peguam.

"Tujuan saya datang ke sini adalah untuk memberitahu Cik Natasya yang cik adalah salah seorang pewaris harta yang ditinggalkan Datuk Imran." Lelaki itu memulakan bicaranya.

Farah memandang ke kiri dan ke kanan, tertanya - tanya akan siapa yang dimaksudkan oleh peguam itu. Pandangannya beralih kepada ayah dan ibunya yang membisu seribu bahasa. Wajah mereka kelihatan muram dan sugul.

"Apa kaitannya dengan saya?" soal Farah kebingungan.

"Nama sebenar Farah ialah Natasya. Natasya Ilyana. Arwah Encik Khairi, ayah kandung Farah adalah salah seorang anak Datuk Imran. Datuk Farah baru je meninggal dunia dua minggu yang lepas. Dia wasiatkan separuh daripada harta dia pada Farah," jelas Sameha lemah. Air mata membasahi pipinya apabila mengenangkan bekas tuannya itu.

Mata Farah terbeliak. Dia tidak tahu apa yang harus dirasakannya sekarang. Hatinya berbelah bahagi. Sejujurnya ada sedikit perasaan gembira dalam hatinya kerana dia akhirnya tahu akan asal usulnya tetapi dalam masa yang sama dia juga berasa sedih kerana jika datuk kandungnya masih hidup sehingga dua minggu yang lepas, kenapa sekali pun dia tidak pernah datang menjenguknya. Mindanya berserabut. Banyak persoalan yang sedang bermain dalam mindanya sekarang.

"Ayah kandung Farah dah meninggal?" Itulah soalan pertama yang terkeluar daripada mulutnya.

Sameha tunduk menyapu air matanya. Esakannya semakin menjadi - jadi.

"Ya, Farah. Masa tu umur Farah baru 6 bulan," jelas Kiefli. Walaupun wajahnya kelihatan tenang, terdapat air mata yang terbit dari hujung matanya. Dia mencapai tangan isterinya lalu menggenggam erat tangan itu. Daripada reaksi ibu dan ayahnya, Farah dapat membuat kesimpulan yang mereka berdua kenal siapa ayah kandungnya.

Perkara ini susah untuk diterima akalnya kerana selama ini dia membesar dengan menyangka dia dipungut dari rumah anak yatim. Setelah dua puluh lima tahun hidup dengan menganggap dia adalah anak yang tidak dikehendaki dan dibuang seperti sampah oleh keluarga kandungnya sendiri, bagaimana dia boleh menerima hakikat bahawa segala yang dipercayainya selama ini adalah satu penipuan.

Peguam itu berdehem kecil.

"Maafkan saya kerana terpaksa mencelah tetapi saya terpaksa jalankan tugas."

"Silakan," balas Kiefli.

Peguam itu memperkenalkan dirinya sebagai peguam keluarga Datuk Imran yang telah diberi amanah untuk mengendalikan urusan wasiatnya. Setelah itu, dia mengeluarkan kertas daripada briefcasenya lalu menjelaskan kepada mereka tentang aset - aset yang dimiliki oleh Datuk Imran dan bahagian yang telah diperuntukkan untuk cucunya, Natasya. Farah hanya mendengar tanpa berkata apa - apa.

"Encik Imran telah menetapkan syarat kepada semua pewarisnya. Dia nak semua pewaris hartanya tinggal di sebuah banglow pusaka yang akan menjadi milik Cik Natasya jika Cik Natasya berjaya menyempurnakan syarat itu. Semua pewaris akan tinggal selama sebulan dan tidak dibenarkan keluar dari tempat itu. Sesiapa yang tidak sanggup melaksanakannya tidak akan memiliki harta yang akan diwariskan kepadanya," jelasnya panjang lebar.

Hampir sahaja Farah terjatuh dari kerusi kerana terkejut dengan syarat yang tidak masuk akal itu. Dia tidak kisah. Apa nak jadi, jadilah. Dia takkan menunaikan syarat itu. Wang dan harta kekayaan bukanlah segala - galanya bagi dia. Banyak lagi benda yang lebih penting daripada itu.

"Farah bahagia kat sini. Farah tak kisah apa yang mereka nak buat dengan bahagian Farah dalam wasiat tu. Yang penting, Farah tak nak tinggalkan mama dan papa."

Sameha menggelengkan kepala sebagai tanda protes. Jika Farah berundur dari awal lagi, janjinya kepada Encik Khairi tidak mungkin akan dapat ditunaikan.

"Please, Farah. Lakukannya untuk mama. Mama dah berjanji dengan ayah Farah yang mama akan pastikan Farah dapat apa yang jadi milik Farah. Bantu mama tunaikan wasiat terakhir tu," rayu Sameha penuh harapan.

Farah mula serba salah apabila mendengar nada suara ibunya yang seakan - akan merintih. Dia tahu jika dia membantah, dia mungkin akan dianggap derhaka oleh mereka namun dia juga tidak mahu tinggal bersama dengan keluarga yang langsung tidak dikenalinya. Walaupun mereka adalah keluarga kandungnya, mereka sebenarnya lebih layak dipanggil orang asing berbanding dengan ibu bapa angkatnya yang telah membesarkannya sejak kecil.

Sameha mengelap air matanya sekali lagi sebelum melangkah ke almari di sudut ruang tamu. Sebuah kotak dikeluarkannya dari almari itu. Setelah itu, dia menghampiri Farah lalu menyerahkan sepucuk surat lama yang masih elok bersampul.

"Mungkin Farah akan ubah fikiran lepas baca surat ni."

Farah membuka sampul itu dengan cermat. Surat itu ditandatangani oleh Khairi, lelaki yang dikatakan ayah kandungnya.

2 comments:

LiNa said...

best la citer nie..
sambung lagi yer..

Unknown said...

awak!!.
huhu..
tanak masukkan kew ur karya kt penulisan 2 u..
sure meletup...
x p0m da bley kuar n0vel da skang...
i prefer year 3000..
fuh endin' mantap..
hopefully awak sudi2 fikirkan...
tata..