Wednesday, December 10, 2014

Cinta Teragung (Bab 1)

BAB 1

Di atas hamparan sejadah di saat insan lain lena diulit mimpi, seorang gadis sedang menadah tangan berdoa. Air mata bercucuran membasahi pipinya mengharapkan keampunan dan keredaan dari sang pencipta. Suaranya perlahan, terapung dan tenggelam dalam lautan penyesalan.

"Ya Allah, sesungguhnya aku telah berlaku zalim pada diriku dan orang - orang di sekelilingku. Engkau ampunkanlah dosa - dosaku serta peliharalah orang - orang yang aku cintai keranaMu dengan sebaik - baik jagaan. Ya Rahman, berikanlah aku kekuatan untuk taat kepadanya. Ilhamkanlah dalam hatinya kemaafan atas kesalahan yang aku telah lakukan. Lembutkanlah hati dia supaya reda dengan aku serta berikanlah dia kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Aku tak tahu sama ada aku dapat bertahan menerima ujian ini. Engkau kuatkanlah aku ya Allah. Engkaulah satu - satunya sumber kekuatan aku. Jauhkanlah aku daripada menjadi hamba yang tidak reda dan putus asa dengan rahmatMu. Aku tahu setiap takdir yang tersurat ke atas aku adalah yang terbaik buat aku. Engkaulah al-Alim Allahu rabbi."

Amalina menghela nafas. Air mata yang masih merembes keluar dihapus dengan hujung jari. Hatinya tenang setenang tasik yang tidak beralun. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang. Itulah keindahan hubungan antara hamba yang kerdil dengan tuhannya. Kemanisannya hanya dapat dirasai oleh orang yang betul - betul ikhlas mendambakan kasih dan redaNya.

Selesai solat Subuh, dia bangun lalu menggantung telekung solat dan sejadah pada penyangkut baju di satu sudut bilik. Badannya direbahkan ke atas katil. Bantal kecil bercorak beruang pemberian sahabatnya diletakkan di belakang badan sebagai alas untuk dia bersandar dengan lebih selesa. Telefon bimbit yang berada di atas meja dicapai lalu ditilik lama sebelum tangannya laju mendail nombor telefon yang memang sudah dihafalnya dari dulu lagi. Suara adik perempuannya, Najihah mengisi ruang telinga.

"Assalamualaikum Jihah, abi dengan ummi sihat ke?"

"Waalaikumussalam. Abi dengan ummi sihat. Kak Mina tak payahlah bimbang. Ummi jelah. Sakit jiwa agaknya. Buat tu tak boleh, buat ni tak boleh. Dia takut Jihah jadi macam Kak Mina kot," balas Najihah bersahaja.

Muka Amalina berubah. Hatinya terasa bagai dikerat - kerat.

"Abi ada? Boleh Kak Mina cakap dengan dia?"

Amalina dapat mendengar suara Najihah memanggil abi di hujung talian namun dia tidak mendengar jawapan balas daripada abi. Lama dia menunggu. Mungkin juga marah abi terhadapnya masih belum hilang.

"Sorry, abi tak nak cakap dengan Kak Mina. Dengar je Kak Mina call, dia terus masuk bilik. Panggil berapa kali pun buat pekak je."

Amalina cuba menahan dirinya daripada mengeluh tanda tidak reda dengan ujian yang diterimanya ini. Bibirnya dipaksa untuk mengukirkan senyuman tawar.

"Tak baik Jihah cakap macam tu kat abi. Takpelah, kirim salam kat abi dengan ummi ya. Bagitau yang Kak Mina rindu sangat - sangat."

Najihah mendengus. Tidak sampai beberapa saat selepas itu talian telefon dimatikan tanpa memberi peluang kepada Amalina untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang keadaan mereka sekeluarga.

Amalina cuba tersenyum untuk mengubat hatinya. Dia tahu dia tidak boleh menyalahkan Najihah seratus peratus. Najihah masih muda. Fikirannya masih tidak matang. Salah dirinya juga yang tidak cuba menjadi contoh ikutan yang terbaik buat Najihah.

Tiba - tiba dia teringat sesuatu. Telefon diraih kembali ke dalam genggamannya. Jari - jemarinya laju menekan pad kekunci. Sebaik sahaja butang call ditekan, dia merapatkan telefon ke telinga. Senyuman terbit pada wajahnya apabila mendengar suara lembut sarat nada keibuan itu dari hujung talian.

"Mama kat mana sekarang?" soal Amalina. Suaranya kedengaran lebih tinggi daripada biasa.

"Mama kat Kelantan lagi. Baru je bertolak. Sampai petang sikit kot. Mina tengah buat apa?"

Amalina membetulkan posisinya. Kekecewaan dek panggilan pertama tadi cuba dilupakan. Mendengar suara mama, hatinya sedikit sebanyak mula terubat.

"Mina takde buat apa - apa. Hajat nak pergi jalan - jalan kejap dengan roommate lepas ni."

Amalina menjeling ke arah langsir berwarna biru lembut yang menutup ruangan bilik Afza daripada pandangannya. Semalam dia telah berjanji untuk mengikut Afza tawaf sekitar mahallah kediaman mereka. Sambil - sambil itu, dia juga ingin mengambil kesempatan untuk melihat dengan lebih dekat Fakulti Kejuruteraan yang akan menjadi tempatnya menimba ilmu tidak lama lagi.

"Hati - hati ya. Mama bimbanglah. UIA tu dahlah ramai orang asing, takut jadi apa - apa nanti. Bila Rayyan dah sampai nanti, bolehlah dia tolong tengok - tengokkan Mina, tenang sikit hati mama."

Muka Amalina berkerut apabila mendengar nama itu disebut. Dia tahu tujuan mama memasukkan nama Rayyan dalam perbualan mereka adalah untuk mengingatkan dia supaya bertanya tentang lelaki itu.

"Dia tengah drive ke?" Keceriaan Amalina mulai kendur. Dia sebenarnya enggan bertanya tentang Rayyan pada mama.

"Kenapa? Mina nak cakap dengan dia ke?"

Kepalanya secara refleks tersentak lalu terhantuk pada headboard kayu di belakang badannya. Bunyi hentakan kuat kedengaran. Amalina membetulkan posisinya lalu mendekatkan telefon kembali ke telinga. Kepalanya yang berdenyut - denyut diabaikan seketika. Dia tahu mama masih menunggu jawapan daripadanya.

"Takpelah mama. Lain kalilah. Bahaya guna telefon time tengah drive," Amalina memberi alasan.

"Takdelah. Tengah breakfast ni. Baru je siap."

Amalina menukar kedudukan telefon ke telinga kirinya, tangannya memintal - mintal key chain yang tergantung pada telefon. Otaknya semakin giat diperah untuk mencari jalan bagi melepaskan diri. Mungkin mama menganggap diamnya diam tanda setuju kerana tidak lama selepas itu, bunyi helaan nafas yang kuat kedengaran dari hujung talian.

"Apa dia?" Suara lelaki di hujung talian kedengaran bosan.

Amalina menelan liur. Tangannya dilalukan di celah - celah rambutnya, menolak rambut paras bahu itu ke belakang.

"Hati - hati," balas Amalina separuh berbisik.

"Tu je? Lagi?" soal Rayyan seakan - akan tidak berpuas hati.

Amalina menarik nafas panjang.

"Awak sihat?" Soalnya sekadar untuk memenuhi keinginan Rayyan. Dia sebenarnya tidak berminat untuk mengetahui jawapannya. Dia yakin jika Rayyan jatuh sakit sekali pun, lelaki itu tidak akan sekali - kali memberitahunya. Biasanya dialah orang terakhir yang tahu jika sesuatu seperti itu terjadi.

"Kalau sakit, awak boleh buat apa?"

"Saya akan..." Kepalanya disengetkan sedikit untuk merenung siling "...doakan awak."

Tiada respon daripada Rayyan. Amalina mula berkira - kira untuk menamatkan panggilan. Otaknya tidak dapat meneka apa reaksi Rayyan terhadap jawapannya.

"Saya sihat. Tapi tolong doakan jugak, bagi selamat sampai," balas Rayyan, memecahkan kesunyian. Amalina mengangguk sambil menyandarkan badannya pada bantal. Paniknya mulai hilang.

"Insya Allah."

"Terima kasih. Assalamualaikum," balas Rayyan pendek sebelum menamatkan perbualan.

*

"Jap eh Mina, nak apply filter."

Amalina cuba melawan perasaan tidak puas hati yang membuak - buak dalam dirinya. Dia tahu sabar adalah salah satu perkara yang senang disebut tetapi susah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Saban hari ada saja perkara yang menyakitkan hati berlaku. Di sinilah ayat Qur'an dan hadis nabi memainkan peranan. Setiap kali kesabarannya diuji, dia akan teringat pada sirah - sirah yang menceritakan tentang ketabahan Rasulullah dan sahabat walaupun diuji dengan ujian yang lebih hebat daripada apa yang dilaluinya sekarang. Perasaan tidak puas hati itu akan hilang kerana malu. Malu kepada Allah.

Ya Allah, memang patut aku diuji macam ni. Hanya dengan ujian baru aku sedar yang ada banyak benda yang patut aku baiki sebelum aku layak bergelar hamba.

"Done."

Afza berjalan ke arah Amalina yang sudah duduk melepaskan lelah di atas tangga rektori yang menghala ke arah Masjid Sultan Ahmad Shah. Kata - kata Afza sebentar tadi umpama angin lalu, langsung tidak didengarinya kerana mindanya sudah jauh menerawang. Tudung berwarna merah jambu yang dipakainya melambai - lambai ditiup angin. Tiba - tiba satu idea muncul dalam kotak fikiran Afza. Langkahannya terhenti. Samsung Galaxy Note dikeluarkan. Dia mengangkat skrin dan berlagak seolah - olah dia sedang menghantar mesej kepada seseorang. Setelah dia yakin dia tidak akan tertangkap, butang capture ditekan. Afza tersengih.

At last, dapat jugak gambar the elusive Mina ni.

Setelah selesai memuatnaik gambar itu ke dalam laman Instagram, dia berjalan ke arah Amalina lalu mengambil tempat di sisi sahabatnya itu.

"Lawalah tempat ni. Jom selfie," cadang Afza. Ini sudah kali kelima dia mempelawa Amalina bergambar bersamanya.

Amalina menggeleng tegas. Dia sebenarnya tidak sampai hati berterusan menghampakan Afza tetapi dia juga bimbang kalau - kalau gambarnya bersama Afza akan menjadi tatapan umum di mana - mana laman sosial. Dia bukannya tidak percayakan Afza, dia cuma memilih untuk lebih berhati - hati agar tidak menyesal di kemudian hari.

"Tak naklah. Nanti cacat pulak gambar Afza."

Afza mencebik.

"Spoil lah Mina ni. Apesal susah sangat nak ambil gambar? Dah macam spesies hidupan liar terancam pulak. Harimau Sumatera pun tak macam ni tau?"

Amalina ketawa kecil.

"Seganlah. Lagipun, ayah Mina tak suka."

"Bukannya berdosa pun. Ambil gambar je." Afza masih tidak mahu mengalah.

Walaupun ini bukan pilihannya pada asalnya, dia tahu arahan ini dibuat untuk kebaikan dirinya juga. Memang dia tidak bersetuju pada mulanya. Jika semua gambarnya dibuang dari laman sosial, peluangnya untuk dilihat oleh lelaki ajnabi akan semakin mengecil. Itulah yang sering bermain dalam hatinya yang sentiasa dahagakan perhatian daripada manusia ketika itu. Sehingga kini, dia hanya mampu tersenyum malu apabila teringat akan ketidakmatangan dirinya dahulu.

Amalina tersentak apabila telefonnya berbunyi menandakan ada mesej baru sampai.

Mama dah ada depan Mahallah Sumayyah. Turun cepat sikit.

Amalina menghela nafas lega. Rasa syukur dipanjatkan sedalam - dalamnya kepada Allah yang telah menyelamatkan dirinya daripada tunduk kepada desakan Afza. Mesej daripada Rayyan itu dibaca sekali lagi. Dia harus segera berjumpa mama. Rindunya sudah membuak - buak walaupun baru seminggu dia tidak melihat muka wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri itu.

"Kenapa senyum sorang - sorang ni? Siapa yang mesej?" Amalina cepat - cepat memasukkan telefonnya ke dalam beg.

"Jom kita balik. Mama Mina dah sampai." Soalan Afza dibiar tidak berjawab.

Walaupun kelihatan tidak berpuas hati, Afza tetap menurut tanpa banyak soal. Enjin kereta dihidupkan. Kereta meluncur laju melintasi beberapa fakulti sebelum mereka tiba di Mahallah Sumayyah yang berada jauh di atas bukit. Viva hitam mama kelihatan berada di tempat parkir. Mama dan Rayyan pula berada di bawah gazebo, sedang berbual - bual sambil menikmati udara segar tanah tinggi.

"Assalamualaikum mama."

Mama menoleh dengan senyuman. Wajahnya kelihatan berseri - seri. Tudung labuh berwarna kuning cair yang dikenakan mama kelihatan sesuai sekali dengan tona kulitnya. Terpancar aura keibuan pada wajahnya yang jernih. Rayyan yang berada di sebelah mama turut menoleh ke arah mereka. Berbeza dengan mama, di wajahnya langsung tiada senyuman. Wajahnya juga kelihatan lebih cengkung daripada biasa.

Amalina menghulurkan tangan untuk bersalam. Rayyan hampir - hampir menyambutnya namun dia terlebih dahulu dipintas oleh mama. Afza yang menyaksikan kejadian itu hanya mengangkat kening tanpa berkata apa - apa.

"Kawan Mina ya? Nama apa?" soal mama sekadar untuk mengingatkan Rayyan dan Amalina bahawa ada orang lain yang bersama mereka.

"Ha'ah, kawan sebilik. Saya Asyikin Afza. Biasanya orang panggil Afza je tapi saya tak kisah orang nak panggil apa pun. Asyikin pun boleh, Afza pun boleh. Mak cik ni mak Mina ke? Bila sampai?" Afza menyambut huluran tangan mama.

Amalina tunduk. Tangannya ligat memintal tali beg, gelisah menunggu jawapan mama. Malu kerana kesilapannya menghulurkan tangan kepada Rayyan di hadapan Afza tadi masih bersisa. Dia amat berharap Afza tidak perasan apa yang telah berlaku.

"Tak, mak cik jiran Mina. Kebetulan anak mak cik daftar hari ni jadi mak cik datanglah jenguk Mina, tanya khabar. Afza orang mana? Ambik jurusan apa?" Jawapan mama tetap tepat walaupun itu hanya separuh daripada hakikat sebenar hubungan mereka. Amalina lega mendengarnya, sekurang - kurangnya dia tidak perlu menipu apabila bercakap tentang mama kepada Afza.

"Saya orang Jitra, ambik accounting. Emak yang suruh ambik, kalau tanya saya, saya lagi minat medic. Tapi dengan result yang tak seberapa ni, dapat accounting pun dah kira bersyukur dah mak cik."

Mama mendengar dengan teliti.

"Yang ni ke anak mak cik? Course apa?" Afza melirik ke arah Rayyan yang kelihatan tidak berminat untuk turut serta dalam perbualan mereka. Dari riak wajahnya yang masam mencuka, dia seolah - olah ingin cepat - cepat beredar dari situ.

"Amar Rayyan. Dia ambil Usuluddin. Dah tahun dua."

Afza tersengih lebar.

"Ustaz rupanya. Dia boleh bercakap ke?"

Amalina segera memalingkan muka untuk menahan rasa ingin ketawa yang sedang membuak - buak. Lengannya dicubit kasar. Dia tidak mahu melihat reaksi muka Rayyan, bimbang ketawanya akan pecah saat itu juga.

"Dia jenis yang jaga ikhtilat," bisik mama dengan senyuman.

Afza mengangguk. "Oh samalah dengan Mina," balasnya sambil menepuk bahu Amalina.

Rayyan menoleh. Pandangan mereka bertembung.

No comments: