Friday, March 20, 2009

Rahsia (Prolog)

PROLOG

"Meha, aku amanahkan satu - satunya anak aku pada kau. Tolong jaga dia baik - baik. Jangan biarkan dia hanyut dalam kemewahan. Ajar dia erti kesusahan. Aku tak nak anak aku membesar macam keluarga dia," pesan Encik Khairi. Suaranya tertahan - tahan dek batuknya yang semakin menggila.

Sameha mengangguk lemah. Dia meraih Natasya, anak tunggal Encik Khairi ke dalam dukungannya.

"Aku mungkin takkan hidup lama lagi Meha. Aku nak Tasya hidup bahagia dan dapat apa yang sepatutnya jadi milik dia."

Sameha pantas menyembunyikan air matanya daripada menitis melihat keadaan lelaki itu yang hanya dapat bergantung hidup pada tiub - tiub jernih yang disambungkan pada anggota badannya. Matanya beralih ke arah bayi yang berada dalam rangkulannya. Wajah muram Natasya direnungnya tidak berkelip. Bayi itu seakan - akan mengerti dia akan dipisahkan dengan ayah kandungnya tidak lama lagi.

"Baik tuan. Saya janji saya akan besarkan Cik Natasya macam anak saya sendiri. Saya akan besarkan dia dengan baik. Saya janji Cik Natasya akan jadi seorang gadis yang baik. Itu janji saya."

Encik Khairi tersenyum dalam kepayahan. Dia mengeluarkan sepucuk surat dari poket bajunya. Wayar - wayar yang berselirat pada tubuhnya agak menyukarkan pergerakannya.

"Aku percayakan kau Meha. Bagi surat ni pada Tasya ketika umurnya 20 tahun. Dan lagi satu, aku nak kau cepat pergi dari sini. Mereka mungkin akan jadikan Tasya sasaran seterusnya."

Sameha pantas menyambut surat itu lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Berat hatinya untuk meninggalkan majikannya, Encik Khairi yang sudah terlantar tidak bermaya di katil hospital apatah lagi apabila mengetahui Encik Khairi adalah sasaran seterusnya selepas Puan Syahirah, ibu Natasya.

Derapan tapak kaki kedengaran kian menghampiri. Desakan Encik Khairi terpaksa dipatuhinya dengan hati yang berat. Dia segera berlari keluar dari bilik Encik Khairi. Dari jauh dia dapat melihat beberapa orang lelaki menyerbu masuk ke dalam bilik majikannya itu. Sameha segera bersembunyi di sebalik dinding. Jantungnya sudah mula berdegup kencang apabila membayangkan kesudahan riwayat hidup Encik Khairi, majikan yang sangat dihormatinya.

Jantungnya bagaikan berhenti berdegup apabila dia terdengar kekecohan dari bilik Encik Khairi. Doktor dan jururawat kedengaran bergegas masuk ke bilik itu. Langkahannya semakin laju apabila dia sedar mereka akan mula mencari bayi yang berada dengannya sekarang. Apa yang paling penting buatnya sekarang ialah menyelamatkan Natasya daripada menjadi mangsa pembunuh tidak berperikemanusiaan itu.

Kakinya laju melangkah keluar dari hospital. Jalan raya yang bertali arus diredahnya tanpa memikirkan keselamatannya sendiri. Kelibat lelaki berbaju serba hitam masih setia mengekorinya. Sameha tercungap - cungap keletihan. Dia sudah tidak berdaya lagi untuk terus berlari. Apabila dia menoleh ke belakang sekali lagi, kelihatan lelaki itu sudah berdiri tidak jauh daripadanya.

"Serahkan budak tu kalau kau tak nak apa - apa perkara buruk terjadi," arah lelaki itu tegas.

"Tolong jangan ambil Cik Natasya. Dia tak tahu apa - apa pun. Tolong jangan jadikan dia korban semata - mata untuk puaskan hati mereka," rayu Sameha.

Lelaki berbaju hitam itu merampas Natasya dari tangan Sameha tanpa menghiraukan tangisan yang mula keluar dari mulut bayi itu. Sameha cuba untuk menghalang namun ternyata kudratnya tidak seberapa. Dia jatuh terduduk akibat ditolak dengan kasar oleh lelaki itu. Tanpa berputus asa, dia bangun sekali lagi.

"Tolong serahkan dia pada saya. Dia berhak hidup."

Kata - katanya terus mati apabila dia ternampak seorang lelaki yang cukup dikenalinya sedang berjalan ke arah mereka. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya kecuali memandang lelaki itu dan berdoa supaya tuhan memberi perlindungan kepada mereka. Tanpa disangka - sangka lelaki itu mengambil Natasya daripada lelaki berbaju hitam itu lalu menyerahkan bayi itu kepadanya.

"Saya akan lepaskan awak dan Natasya. Saya akan bantu awak jaga dia. Saya akan bawa awak lari dari semua kekalutan ni."

"Tapi Encik Zulkiefli..." Lelaki itu terdiam apabila Kiefli mengangkat tangannya lalu mengarahkan dia pergi.

Tangannya dihulurkan ke arah Sameha. Sameha masih terpaku. Lelaki itu adalah anak angkat Encik Khairi, lelaki yang dikenalinya sebagai Kiefli atau nama sebenarnya Zulkiefli yang merupakan calon suaminya dulu.

#

"Saya cuma nak awak tahu yang saya tak pernah setuju dengan mereka. Saya tak nak papa dibunuh. Saya sedar, kalau saya lebih tegas tentu papa masih ada," tutur Kiefli lemah.

Sameha mengangguk perlahan. Matanya tertancap pada pemandangan dari tingkap kecil di tempat duduknya. Yang kelihatan cuma rumah - rumah kayu kecil dan pokok - pokok nan menghijau. Ketika ini mereka sedang berada dalam kereta api yang menuju ke Kelantan. Mereka akan memulakan hidup baru di sana.

"Tentang pertunangan kita, saya minta maaf. Saya tak patut cakap macam tu pada awak."

Sameha menghela nafas. Dia tidak mahu perkara ini diungkit - ungkit lagi. Sudah cukup dia dihina dan dicemuh oleh Kiefli sebelum ini kerana dia hanyalah pekerja bawahan Encik Khairi, bukannya anak orang kaya seperti calon isteri yang diingini Kiefli.

"Tolong jangan cakap pasal ni lagi," pinta Sameha separuh merayu.

"Saya nak tebus semua kesalahan saya. Saya nak hidup bersama awak Sameha. Kahwinlah dengan saya."

Sameha tergamam. Di saat itu dia tahu dia akan menerima lamaran itu. Senyuman Encik Khairi tergambar dalam mindanya. Senyuman manis Kiefli tambah meyakinkannya.

No comments: