Thursday, March 5, 2009

Stand Together (Bab 3)

BAB 3

Farah tunduk lalu merapatkan dahi pada sejadah nipis yang memisahkan kulitnya dari lantai. Air mata bercucuran keluar membasahi pipi sambil bibirnya terkumat - kamit membaca tasbih diiringi dengan doa untuk keselamatan diri dan ibunya di dunia dan di akhirat. Segala kesedihan yang belum pernah diceritakan kepada sesiapa hatta ibunya sendiri diluahkan kepada Yang Maha Mendengar kerana dia yakin akan kasih sayang Allah kepada hamba - hambaNya. Allah tidak akan menguji seseorang hamba dengan ujian yang tidak mampu mereka tanggung. Dia yakin, jika Allah menghendakinya, pasti ada jalan keluar daripada kekusutan yang dialaminya kini.

Selesai solat, Farah kembali semula ke bilik bersama sejadah usang itu. Dilihat teman sebiliknya, Khairina masih lagi lena diulit mimpi. Mulutnya cepat - cepat meminta ampun apabila cebis - cebis takabbur cuba menguasai hati yang sebelum ini sentiasa dilatih dengan zikrullah agar berhenti bersangka buruk. Mungkin Khairina masih keletihan, hatinya cuba bersangka baik. Malam semalam, majlis penutup minggu orientasi mereka berakhir agak lewat. Selesai sahaja solat Isya', mereka terus merebahkan badan ke atas katil lalu terlena sehingga ke pagi. Nasib Farah baik kerana dia terbangun setengah jam sebelum Subuh. Sempatlah dia melaksanakan solat - solat sunat yang sentiasa menjadi amalan hariannya sebelum ini.

Sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan, Farah segera menghampiri Khairina lalu menggoncang tangan sahabatnya itu perlahan. Beberapa minit berlalu namun Khairina masih belum mahu mencelikkan mata. Farah mengambil keputusan untuk mengerjakan solat terlebih dahulu. Selesai solat, dia cepat - cepat menghampiri Khairina lagi. Dia baru sahaja berniat untuk merenjis sedikit air ke muka Khairina apabila kawannya itu membuka mata lalu memandang sekeliling seolah - olah terkejut dengan apa yang dilihatnya.

"Astaghfirullah. Dah pukul berapa? Kenapa enti tak kejut ana?"

Farah tergagap - gagap untuk menjawab soalan itu. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada Khairina bahawa dia sudah setengah jam berusaha untuk membangunkan sahabatnya itu. Dengan wajah yang sedikit tegang, Khairina memisahkan diri daripada katil lalu mencapai tuala.

"Tak dapatlah ana nak buat tahajjud hari ni. Berdosanya ana dekat Allah. Enti tahu tak, sebelum ni ana tak pernah tinggal sekali pun solat tahajjud lepas ana baligh."

Farah tunduk mendengar bebelan kawannya. Hatinya dipaut rasa bersalah kerana menunaikan kewajipannya dahulu sebelum mengejutkan sahabat yang turut mahu bersolat bersama. Sangkanya, dia sedang membantu Khairina dengan memberikannya rehat yang cukup kerana dia tahu mereka masih keletihan akibat program malam semalam. Mungkin juga niatnya salah.

"Maaf."

"Enti minta maaflah kat Allah. Ana nak solat dulu," balas Khairina sambil tergesa - gesa ke tandas.

Setelah selesai membaca kitab suci Al-Qur'an, Farah melipat telekung solat lalu digantungkan pada kepala katil. Telefon bimbit Nokia yang sudah tercalar sana - sini ditilik untuk melihat jika terdapat sebarang mesej pada hari ini. Hatinya berbunga gembira apabila terdapat dua notis panggilan tidak berjawab daripada Puan Hajar, seorang perempuan berhati mulia yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Jari jemarinya pantas mendail kembali nombor telefon yang tertera itu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.

"Assalamualaikum mak. Mak sihat ke? Yang lain macam mana?"

Bunyi batuk kecil kedengaran dari hujung talian. Dia tahu kesihatan Puan Hajar memang tidak memuaskan sejak akhir - akhir ini. Perempuan itu sering batuk - batuk dan demam, kadang - kadang sehingga seminggu lamanya. Anak - anak kandung Puan Hajar yang berjumlah enam orang kesemuanya tidak pernah mengambil berat akan soal kesihatan ibu mereka. Dulu, hanya Farahlah yang setia di sisi menemaninya tatkala dia jatuh sakit.

"Alhamdulillah. Mak dengan adik beradik kamu semua sihat Farah. Kamu janganlah bimbang. Pelajaran kamu macam mana?" Terubat rasa rindunya apabila mendengar suara lunak itu bertutur.

"Setakat ni belum belajar apa - apa lagi mak. Hari ni baru mula kelas. Mak doakan Farah ya."

"Yalah Farah. Ingat, kamu dah ada tunang. Pergaulan kena jagalah sikit. Solat jangan lupa. Ingat, kat mana pun kita berpijak, benda yang wajib tetap wajib."

Farah merasakan nafasnya tersekat di hujung kerongkong. Dia seharusnya sudah dapat membiasakan diri dengan status tunang orang itu namun hingga kini, apabila disebut tentang itu, dadanya terasa sesak. Jujur dia akui tiada langsung niat di hatinya untuk menolak jodoh yang telah ditetapkan Allah. Jika memang dia ditakdirkan hadir dalam hidup Faris Farhan untuk membimbing lelaki itu ke jalan yang diredhaiNya, dia redha namun tugas itu dirasakan tidak mampu ditanggungnya sendirian. Dia memerlukan seorang lelaki yang dapat membimbing dirinya, bukan sebaliknya.

"Insya Allah mak. Farah akan ingat pesanan mak."

#

Farah melajukan langkahan. Dari ekor matanya, dia dapat melihat lelaki - lelaki itu masih mengekorinya dari belakang. Perasaan cemas dan takut mula menguasai dirinya. Dia tahu dia tidak sepatutnya keluar bersendirian namun dia tidak mempunyai sesiapa yang kelapangan untuk menemaninya keluar sedangkan barang - barang dapur di rumah sewanya sudah hampir habis. Khairina dan Nadia keluar menghadiri usrah manakala yang lain tidak akan pulang sebelum pukul enam petang. Jika dia tidak keluar, alamatnya tidak berasaplah dapur mereka malam ini.

"Assalamualaikum encik." Farah menoleh ke belakang. Dilihatnya seorang lelaki berbaju kemeja dan berkopiah sedang bertegur sapa dengan lelaki - lelaki yang mengekorinya tadi. Farah mengurut dadanya lega lalu cepat - cepat beredar dari situ sambil memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Setelah membayar harga barang yang dibelinya, Farah keluar daripada kedai. Malam ini dia berhajat untuk memasak kari ayam khas untuk teman serumahnya, Nadia yang sudah lama tidak merasa masakan kampung. Langkahnya mati apabila terpandang seorang lelaki berkemeja sedang berdiri di depan pintu kedai. Lelaki inilah yang telah membantunya tadi. Sebaik mata mereka bertentang, Farah segera menundukkan pandangan, bimbang akan menimbulkan perasaan yang tidak elok dalam hatinya.

"Sister, sorang je ke?"

Farah mengangguk dengan tenang walaupun hatinya sudah mula berdebar - debar. Hujung plastik yang berisi barang - barang dapur itu dikuis dengan tangan untuk mengalihkan perhatiannya daripada memandang wajah lelaki itu buat kali kedua. Walaupun wajah lelaki itu baru dilihat sepintas lalu sebentar tadi, naluri perempuannya sudah mula mengkagumi kekacakannya. Kata Ustazah Syarifah, Rasulullah sendiri melarang Sayyidina Ali daripada memandang wajah wanita buat kali kedua sedangkan beliau merupakan seorang yang terkenal dengan kewarakan. Jika Sayyidina Ali sendiri terpaksa menjaga pandangannya sebegitu rupa, apatah lagi Farah yang imannya boleh dikatakan tidak sampai secebis daripada keimanan orang dulu - dulu.

"Tak elok perempuan keluar sorang - sorang. Kalau boleh, call kawan - kawan datang ambil. Bahaya."

Farah membuka mulut untuk memberi respons namun lidahnya kelu untuk menuturkan sebarang perkataan. Bercakap dengan lelaki asing adalah sesuatu yang agak janggal baginya. Sebelum lelaki itu berlalu, ucapan terima kasih tiba - tiba terpacul keluar daripada mulutnya.

"Sama - sama. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."

Farah tunduk lalu merapatkan tangan ke dada. Dia dapat merasakan degupan yang luar biasa daripada jantungnya.

"Ya Allah, lindungilah hati aku," bisiknya.

No comments: