Sunday, March 1, 2009

Stand Together (Prolog)

PROLOG

"Tahniah, Doktor telah mendapat tiga orang anak perempuan serentak, triplets. Semuanya sihat - sihat termasuk isteri Doktor. Doktor boleh iqamatkan sekarang," ujar Doktor Aryana ceria. Sepanjang bergelar pakar ginekologi, inilah pengalaman pertamanya menyambut kelahiran bayi kembar. Peristiwa ini merupakan satu pengalaman yang cukup istimewa baginya lebih - lebih lagi kerana kelahiran bayi kembar tiga memang boleh dikatakan jarang sekali berlaku.

Doktor Johari menghela nafas lega. Dahi anaknya yang masih lembut dikucup satu persatu. Tanpa berlengah lagi dia segera menunaikan kewajipan yang dituntut agama iaitu mengiqamatkan anak - anak perempuannya. Puan Zahrah tersenyum ke arah suami kesayangan yang kian menghampirinya. Satu kucupan mesra hinggap pada pipinya. Puan Zahrah tersenyum senang.

"Terima kasih sebab berikan abang tiga orang puteri yang cantik macam ibunya," lembut tutur kata yang diluahkan Doktor Johari. Pengorbanan isterinya yang melahirkan tiga zuriat sekaligus membuatkan dia lebih menghargai isterinya itu. Jika dapat dia berkongsi beban kesakitan yang ditanggung oleh isterinya, pasti dia sanggup, namun apakan daya, di saat isterinya sedang bertarung dengan maut, dia hanya mampu menggenggam tangan isterinya dan membisikkan kata - kata penenang, tidak lebih dari itu.

"Abang dah fikirkan nama untuk anak kita?" soal Puan Zahrah.

"Abang dah fikirkan. Nanti abang beritahu," janji Doktor Johari ringkas. Isterinya mengangguk akur.

Puan Zahrah dibenarkan pulang ke rumah beberapa hari kemudian. Sepanjang tempoh berpantang, rumahnya sentiasa mendapat kunjungan pelawat terutamanya daripada keluarga suaminya yang ingin bertanya khabar diri dan puteri - puterinya. Nasib Puan Zahrah amat baik kerana adik - adik dan anak angkatnya sedia membantu menyediakan segala keperluan dan dalam masa yang sama membantu menyambut tetamu yang datang dalam keadaannya yang tidak bermaya. Setelah beberapa minggu berlalu, bilangan pelawat mulai berkurang lalu tugas menjaga anak - anaknya diserahkan kepada pembantu rumah warganegara Indonesia, Wulan.

"Sayang, abang kena pergi outstation. Ada mesyuarat. Abang pulang minggu depan. Jaga diri ya," pesan Doktor Johari lalu memutuskan talian telefon.

Puan Zahrah angguk tanpa mengeluarkan sepatah kata. Dia tahu bukan haknya untuk menghalang. Suaminya memang sejak dari dulu lagi merupakan seorang yang workaholic, tidak betah tinggal di rumah tanpa berbuat apa - apa. Sebagai isteri, dia sentiasa berusaha untuk mengerti.Wanita tabah itu melangkah lemah ke bilik yang terletak tidak jauh dari biliknya. Niat di hatinya cuma satu iaitu ingin melihat keadaan anak - anaknya, namun apabila dia menjenguk tiada seorang pun anak - anaknya yang berada di situ. Wulan juga tidak kelihatan kelibatnya. Puan Zahrah cuba menenangkan hatinya sendiri dengan berpendapat anak - anaknya itu baru sahaja dibawa turun. Mungkin dibawa berjalan - jalan di taman oleh Wulan seperti kebiasaannya.

"Mama, tadi Lin turun cari Wulan tapi dia takde. Dia pergi mana mama?" soal Linda dengan nafas yang tersekat - sekat seperti baru sahaja lepas berlari. Dia adalah anak angkat Doktor Johari dan Puan Zahrah.

"Tak ada? Mama pun tak tahu Lin. Lin tahu tak adik - adik Lin ada kat mana?" soal Puan Zahrah cemas.

Linda mengangkat bahu. Sejak pagi tadi dia memang tidak pernah melihat Wulan dan adik - adik barunya. Tanpa berlengah - lengah, Linda dan Puan Zahrah meluru ke bilik Wulan di tingkat bawah. Bilik itu kelihatan kosong seperti tidak pernah diduduki orang sebelum ini. Hati Puan Zahrah mula berombak kencang. Dia yakin sesuatu yang buruk telah menimpa puteri - puterinya. Telefon dicapainya dan dengan tangisan yang tidak berhenti - henti, dia memberitahu suaminya apa yang berlaku.

Doktor Johari bertolak pulang ke rumah pada petang itu juga.

#

Wulan meninggalkan salah seorang daripada tiga orang bayi itu di sebuah rumah anak yatim bagi mengelakkan daripada disyaki. Seorang sudah berjaya dijualnya manakala seorang lagi telah diamanahkan oleh teman lelakinya kepada seorang wanita tua. Dia harus segera meninggalkan Malaysia. Sekarang pihak polis sudah mula berusaha keras untuk menjejakinya. Keadaan pasti akan menjadi lebih sukar jika dia terpaksa membawa bersama anak majikannya itu. Duit hasil daripada jualan bayi itu sudah cukup untuk dia dan teman lelakinya menyewa bot untuk keluar.

Bayi yang sulung cukup bernasib baik kerana telah dijadikan anak angkat oleh sepasang suami isteri yang kaya - raya. Walaupun sudah lima tahun berkahwin, mereka masih gagal mendapatkan sebarang zuriat lalu mereka memutuskan untuk beralih arah dengan mengambil anak angkat. Bayi yang kedua telah dibesarkan di rumah anak yatim sehinggalah dia genap setahun. Bayi itu kemudiannya telah dijadikan anak angkat oleh seorang wanita dan suaminya yang sudah lama berkehendakkan seorang anak perempuan. Bayi yang bongsu pula telah dijaga oleh seorang ibu tunggal yang telah diamanahkan untuk menjaganya. Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, wanita itu tidak mengabaikan bayi yang diamanahkan kepadanya.

Anak yang sulung diberi nama Dya Marisa dan membesar di kota London. Hidupnya dilimpahi kemewahan dan sentiasa dimanjakan oleh keluarga angkatnya kerana dia adalah anak tunggal dalam keluarga. Sejak kecil lagi dia telah diajar untuk berfikir tentang kepentingan dirinya sahaja. Oleh sebab itu, dia telah membesar menjadi seorang remaja yang kuat memberontak dan mementingkan diri. Tidak pernah terlintas langsung di hatinya bahawa dia hanyalah anak angkat.

Anak yang tengah pula hidup bersederhana bersama ibu bapa yang amat menyayangi dirinya. Dia diberi nama Qistina Balkisy dan merupakan seorang gadis yang ceria dan periang. Namun, dia juga agak bersifat kelelakian kerana terpengaruh dengan abang - abangnya sewaktu dia membesar. Walaupun dia cuma anak angkat, ibu bapanya tidak pernah membeza - bezakan kasih sayang antara mereka.

Farah Amalina, nama yang diberi untuk puteri bongsu Puan Zahrah. Kerana kesusahan hidup yang dialami oleh ibunya yang kematian suami, Farah terpaksa bekerja keras demi menyara kehidupan mereka. Emak angkatnya sangat menyayangi dirinya. Namun, dia kurang disenangi oleh adik beradiknya yang lain yang berjumlah enam orang kesemuanya. Mereka menganggap dia hanyalah bebanan tambahan buat mereka.

Ketiga - tiga gadis itu meningkat remaja. Tidak pernah sekalipun mereka terserempak antara satu sama lain walaupun berada di negeri yang sama. Puan Zahrah dan Doktor Johari pula tidak putus - putus memanjatkan doa agar suatu hari nanti mereka dapat menemui anak mereka semula. Hanya Allah yang dapat menentukan adakah suatu hari nanti wujud pertemuan yang akan menyatukan mereka kembali.

No comments: