Sunday, March 1, 2009

Stand Together (Bab 1)

BAB 1

"It's already seven. Wake up. You don't want to be late on your first day of class dear.”

Dya mendengus lalu menekupkan mukanya dengan bantal. Kepalanya terasa berat dan berpusing - pusing seolah - olah badannya juga enggan dibangunkan seawal ini. Dengan langkah yang berat, dia mengatur langkah ke bilik mandi. Setelah selesai membersihkan badan dan mengenakan pakaian yang sesuai, dia turun mendapatkan ibu bapanya yang sedang bersarapan di ruang makan. Pipi ibunya dicium mesra. Sebaik melihat roti bakar yang tersedia di atas meja makan, seleranya terus mati.

"Jon breakfast sama - sama," pelawa Puan Rozana sambil menepuk kerusi di sebelahnya.

"No thanks, mummy. I’m full," balas Dya sambil melangkah ke arah kereta Hyundai Accent ayahnya.

Langkahnya dilajukan agar emak dan ayahnya tidak sempat berdolak - dalih. Ketika dia sampai di muka pintu, pemandu ayahnya sudah siap sedia menunggu di hadapan kereta. Dengan muka masam mencuka, dia menyingsing lengan bajunya lalu membuka pintu kereta untuk masuk. Sebentar sahaja kereta itu sudah meluncur laju ke kampus. Perjalanan tidak mengambil masa yang lama kerana kebetulan rumah barunya itu memang agak hampir dengan universiti yang baru dimasukinya.

Sepanjang perjalanan, mindanya mengulang tayang kembali saat ayahnya, Encik Ismadi, membuat keputusan untuk kembali semula ke Malaysia selepas 15 tahun bermastautin di London. Berkali - kali dia melakukan mogok lapar dan memberontak untuk meluahkan keengganannya namun keputusan itu tetap tidak dapat diubah. Selalunya apa saja yang dimintanya akan segera dilaksanakan oleh ibu dan ayahnya namun dalam hal ini keadaan amat berbeza. Kepulangan ini ada kaitan dengan pekerjaan ayahnya.

Sejak mereka pulang ke Malaysia, dia tidak lagi bertegur sapa dengan ayahnya. Malah, untuk melihat wajah yang makin dimamah usia itu juga dia enggan. Dya meletakkan sepenuh kesalahan pada bahu ayahnya yang langsung tidak berbuat apa - apa untuk meredakan kemarahannya. Dulu sewaktu dia masih kecil, ayahnya pernah terbang ke negara lain semata - mata untuk mendapatkan barang atau permainan yang disukainya. Sekarang, perkara itu tidak mungkin akan berlaku lagi. Mungkin ayahnya sudah tidak lagi menyayanginya.

"Cik Marisa, kita dah sampai."

Dya mendongak. Dilihatnya mereka sudah berada dalam kawasan kampus. Dengan hati yang berat, dia mengatur langkah ke kelas pertamanya untuk semester ini, melintasi beberapa buah taman bunga kecil yang harum baunya. Dilihatnya ada beberapa orang pasangan sedang bermadu kasih di bangku taman itu. Sebaik tiba di hadapan pintu masuk ke dewan kuliah, dia mengeluarkan minyak wangi lalu menyembur hampir sepertiga botol ke badannya. Bibirnya dimuncungkan sedikit lalu dioleskan sedikit penggilap bibir agar semua orang akan terpesona dengan bentuk bibirnya yang seksi. Bibirnya yang dicalitkan dengan warna merah bata mengukirkan senyuman bangga apabila pelajar yang lalu - lalang di hadapannya memandang dengan pandangan yang penuh rasa kagum.

Apabila dia masuk ke dalam dewan, semua mata tertumpu ke arahnya. Dya hanya menayangkan wajah selamba dan berpura - pura tidak perasan akan perhatian yang diterimanya. Dengan lenggok yang menggoda, dia mengambil tempat duduk di hadapan beberapa orang lelaki yang sedang berbual sesama mereka. Apa yang membuatkan hatinya bagaikan terbakar adalah apabila salah seorang daripada mereka menoleh ke arahnya lalu segera menekup hidung seolah - olah dia adalah bangkai bernyawa. Dya baru sahaja berhasrat untuk memaki hamun lelaki itu kerana menghinanya apabila pensyarah mereka masuk ke dewan kuliah sekaligus membatalkan niatnya.

Pelbagai persoalan bermain dalam benaknya sepanjang kelas berlangsung dan semuanya tentang sikap lelaki itu. Sebelum ini, dia tidak pernah dilayan sebegini oleh mana - mana lelaki. Mereka selalunya sering berlumba - lumba untuk memuaskan hatinya, bukan sebaliknya. Setelah berfikir panjang, dia akhirnya membuat kesimpulan bahawa lelaki itu cuma inginkan perhatiannya.

"Okay, that's all. Thank you."

Dya tersentak. Kelihatan buku nota di hadapannya masih suci dan bersih daripada sebarang cela. Dya cepat - cepat memasukkan buku dan peralatan menulisnya ke dalam beg lalu berpusing ke belakang untuk menghadap lelaki itu. Dia bernasib baik kerana lelaki itu sedang mengemas buku - bukunya seorang diri. Kawan - kawannya sudah keluar dan sedang menunggunya di depan pintu dewan kuliah. Dya tersenyum kerana menyangkakan lelaki itu sedang menunggunya untuk keluar bersama - sama.

"What's your problem?" soal Dya dengan suara yang agak lembut kerana tidak mahu menakutkan lelaki itu. Jujur dia akui dia memang tidak kisah jika ada orang yang menyukai dirinya. Tambahan pula jika orang itu semanis lelaki ini.

Lelaki itu mendongak daripada skrin telefonnya lalu mengerutkan dahi.

"Problem? I don't have any problem," balas lelaki itu dengan bahasa Inggeris yang berbunyi agak kemelayuan.

"Then why are you pinching your nose earlier? You got a problem with the smell of my perfume?"

Lelaki itu membuka mulut untuk menjawab namun dia terlebih dahulu dipintas oleh kawan - kawannya yang sedang melaungkan namanya dari pintu memintanya untuk cepat. Lelaki yang dipanggil Irwan itu cuma melambai ke arah mereka sebelum kembali mengalihkan perhatiannya kepada Dya dengan wajah yang berkerut seribu.

"Apa awak cakap tadi?"

Dya mendengus. Dia sudah mula hilang sabar berurusan dengan jejaka yang bernama Irwan ini. Kakinya sudah lenguh berdiri lama - lama. Tambahan pula, dia masih ada kelas lain selepas ini. Dahlah satu nota pun tidak diambilnya dalam kelas ini. Dia tidak mahu turut ketinggalan dalam kelas yang lain.

"My perfume. Duh,"  balas Dya dengan aksi yang sengaja digedikkan.

Irwan mengangguk lalu serta merta mengerutkan hidungnya.

"Tolong jangan pakai banyak sangat boleh tak? Menusuk hidung. Rasa macam nak muntah," balas Irwan selamba.

"What?" Suara Dya separuh menjerit.

"Awak dengar kan? Kalau nak pakai jugak, tolong duduk jauh - jauh sikit. Takut nanti ada yang pengsan."

Dya terlopong. Dia memang betul - betul tidak menyangka Irwan akan mengeluarkan kenyataan yang jauh bertentangan dengan apa yang difikirkannya. Hatinya sakit bagai disiat - siat. Dengan marah, dia mendail nombor telefon ibunya untuk meminta dihantarkan pemandu untuk menghantarnya pulang. Dia lebih rela tidak menghadiri kelas daripada memandang muka lelaki yang padanya langsung tidak tahu menghormati wanita.

Sesampainya di rumah, orang yang menjadi mangsa kemarahannya tidak lain tidak bukan ialah ibunya sendiri. Teguran ibunya yang sedang bergelak ketawa di ruang tamu bersama kawan - kawan persatuannya langsung tidak diendahkan. Malah, apabila dia memasuki bilik, sengaja dihempasnya pintu bilik agar semua orang tahu akan kesedihan hatinya lalu turut sama bersedih untuknya. Hatinya sakit melihat mereka yang bergembira dan ketawa di saat hatinya terluka.

"What's wrong dear? Something upsets you?" Suara Puan Rozana kedengaran cemas di sebalik pintu.

Permintaan ibunya yang meminta untuk dibukakan pintu langsung tidak diendahkan. Semakin ibunya merayu, semakin dahsyat pemberontakan yang dilakukannya sehingga tiada tempat lagi untuk kakinya berpijak pada lantai kerana dipenuhi barang - barang yang dilemparnya. Apabila tenaganya mula susut, dia merebahkan badannya ke katil lalu menangis sekuat hati. Dia dapat mendengar kata - kata ayahnya dari luar bilik yang mendakwa dia hanyalah anak manja yang tidak perlu dilayan. Kenyataan itu menambahkan kebencian yang sedia ada kepada ayahnya.

"Ayah pun sama. Kejam," jeritnya.

Apabila dia mulai tenang, dia dapat mendengar pintu biliknya dibuka. Air mata Dya jatuh lagi apabila ibunya bersimpuh di bahu katil lalu meraih kepalanya ke atas riba ibunya. Rambutnya diusap perlahan tanpa sepatah kata. Dia tahu ibunya tidak akan bertanya apa - apa selagi dia belum bersedia untuk menceritakannya.

"Thanks mummy. Dya cuma perlukan mummy je dalam dunia ni."

"Mummy pun perlukan Dya. Ayah pun sama." Dya sudah kehabisan tenaga untuk membantah. Dia membiarkan saja perlakuan ibunya sehinggalah dia tertidur.

No comments: