Sunday, March 1, 2009

Stand Together (Bab 2)

BAB 2

"Qistina, bangun. Dah Subuh ni."

Suara teman sebiliknya, Juwairiyah, lembut mengejutkannya dari tidur namun bagi Qistina yang susah untuk bangun awal, suara itu adalah bunyi yang paling menyakitkan hati. Dia menarik selimut untuk menutup muka lalu beralih posisi untuk membelakangi Juwairiyah. Sebentar kemudian, dia terdengar teman - teman sebiliknya berbisik sesama sendiri. Sekejap sahaja bisikan - bisikan itu hilang ditelan keheningan subuh. Qistina menarik nafas lega lalu menyambung tidurnya yang terbantut. Sangkanya mereka sudah turun ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Tidak sampai seminit selepas itu, lantunan suara teman - teman sebiliknya mengalunkan surah Yasin beramai - beramai memecah gegendang telinganya. Mengantuknya serta - merta hilang, malah digantikan pula dengan kemarahan yang teramat sangat. Qistina mencampakkan selimutnya lalu memandang mereka dengan pandangan tajam seolah - olah ingin ditelannya satu - persatu kepala mereka. Sebaik sahaja melihat muka bengang Qistina, bacaan mereka beransur perlahan lalu berhenti dengan sendiri.

"Aku bukannya dah nak mati," tingkah Qistina garang.

Seorang lagi teman sebiliknya, Safiyyah, cuma tersenyum. Di badannya sudah tersarung telekung putih untuk menunaikan solat. Setelah menyimpan kitab Al-Quran di rak yang paling atas, dia menghampiri Qistina lalu menepuk - nepuk pahanya mesra.

"Kita tak tahu bila kita akan mati Qistina. Kalaulah kita mati dalam keadaan berhutang dengan Allah, beratlah azab Allah kita kena tanggung." Lembut suara Safiyyah memberikan pesanan.

Qistina mencebik.

"Ustazah - ustazah ni nak ceramah pulak pagi - pagi buta ni." Safiyyah hanya tersenyum. Sejujurnya dia sudah lali mendengar cemuhan - cemuhan sebegitu.

"Ini nasihat dari seorang sahabat kepada seorang sahabat. Bukan sahabat namanya jika dia sanggup biarkan sahabat yang dia kasih, dia sayang, dihumban ke dalam api. Nauzubillahi min zalik. Pergilah mandi dulu. Kami tunggu."

Walaupun dalam hati masih berbaki perasaan marah kepada mereka, dia tetap mencapai tuala lalu melangkah malas ke bilik mandi. Mata yang kuyu terus segar sebaik sahaja air paip yang dingin menyentuh tubuhnya. Setelah mengenakan telekung solat, dia dan teman - teman sebiliknya turun ke masjid yang hampir sepelaung jaraknya dari tempat penginapan mereka. Ketika mereka sampai, iqamat baru sahaja selesai dilaungkan. Mereka bergegas memasuki saf untuk mendapat peluang menjadi makmum muafiq.

Sewaktu kuliah Subuh, Qistina terpaksa beberapa kali dikejutkan oleh kawan - kawannya kerana terlalu asyik terlelap sehingga mengganggu jemaah lain di kiri kanannya. Perasaan mengantuknya hanya hilang selepas selesai bacaan doa oleh imam yang memberikan kuliah. Setelah itu, dia terus melompat turun daripada masjid tanpa menunggu kawan - kawannya yang lain.Tilam di bilik yang empuk lagi selesa seakan - akan sedang menyeru - nyeru namanya. Dia sudah tidak sabar - sabar lagi untuk beradu di atas katil sementara menanti kelas pertamanya hari ini.

Qistina baru sahaja hendak melelapkan mata apabila telefonnya mula berdering minta diangkat. Tangannya dihulur dan Juwairiyah yang berada paling hampir dengan telefonnya secara automatik meletakkan telefon itu di tangannya tanpa perlu diperintahkan.

"Hello. Hmm, siapa ni? Pagi - pagi buta telefon."

Lelaki di hujung talian hanya ketawa mendengar suaranya.

"Pagi buta? Dah nak pukul lapanlah cik adik sayang. Baru je masuk u seminggu dah lupa kat abang ya. Kalau Qis rindu kat abang, turun bawah. Abang tengah tunggu kat bawah ni. Cepat sikit. Malulah, dorang semua tengah pandang abang ni. Mesti dorang tengah fikir abang siapalah yang handsome sangat tu."

Qistina mengerutkan muka. Memang dia tidak dapat menafikan abang sulungnya, Qalif, memang kacak dan sering menjadi kegilaan gadis - gadis di sekolah namun mendengar lelaki itu mengakui sendiri fakta itu membuatkan dia mual walaupun dia tahu abangnya cuma bergurau. Biasanya Qalif bukanlah seorang lelaki yang suka bermegah dengan sebarang kelebihan yang dia miliki. Jika bersama gadis lain, Qistina yakin dia tidak akan bergurau seperti itu. Keakraban merekalah yang membuatkan mereka boleh bergurau dan berbicara tentang apa saja termasuk soal cinta. Namun, keakraban mereka juga ada batasannya kerana mereka sebenarnya telah diberitahu awal - awal lagi bahawa mereka tiada pertalian darah.

"Susah betul dapat abang tak handsome tapi perasan handsome macam ni. Abang tahu tak, sebenarnya dorang tengah fikir mamat manalah yang tengah usha anak dara orang pagi - pagi buta ni. Tak tahu malu betul," balas Qistina dengan nada yang sedikit keras.

"Sampai hati Qis. Turunlah cepat. Abang datang dari jauh ni." Qistina hampir ketawa besar apabila mendengar suara itu mula kendur, seakan - akan merajuk dengan kata - katanya yang berbisa.

"Yalah. Yalah. Lima minit."

Qistina segera melompat turun dari katil lalu membuka almari baju. Telefon masih terkepit antara telinga dan bahunya, melayan Qalif yang sedang berceloteh mengenai kepulangan mereka dua beradik ke rumah mereka minggu lepas. Dia membelek satu persatu tudung yang tergantung pada hanger. Malangnya tiada satu pun yang sudah bergosok. Semuanya masih terlipat elok di dalam almari. Dibeleknya pula baju kurung. Juga masih tidak bergosok semuanya.

"Oklah. Cepat sikit. Abang tunggu. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," balas Qistina lalu menelan liur. Safiyyah menoleh ke arah Qistina lalu menuding ke arah tudungnya yang sudah sedia untuk dipinjamkan. Qistina mengerutkan wajah. Dia memang tiada pilihan lain. Kesian abangnya jika dibiar menunggu terlalu lama di bawah.

#

Qalif tertunduk malu. Mangkuk tingkat yang tadi berada di sebelahnya sekarang sudah berada di bawah kerusi, tertutup terus daripada pandangan orang ramai. Matanya khusyuk meneliti hadis yang telah dihantar kepadanya melalui Facebook. Hatinya berbunga gembira. Dia tahu pilihan  ini adalah pilihan yang terbaik. Tidak salah lagi. Sebelum ini dia belum pernah bertemu perempuan sesolehah ini. Jiwa perempuan ini cekal, imannya tidak mudah goyah, malah, dia sanggup menolak daripada menjadi fitnah kepada kaum Adam hanya kerana kasihnya kepada Allah. Qalif yakin perempuan inilah yang akan menjadi suri hidupnya dan seterusnya menjadi isteri yang terbaik untuk anak - anaknya nanti.

"Senyum sorang - sorang nampak."

Qalif mengangkat muka dengan senyuman yang masih terhias pada wajahnya. Sebaik melihat pemandangan di hadapan mata, secara automatik dia menundukkan pandangan. Bibirnya laju mengucapkan istighfar. Tiada lagi senyuman pada wajahnya. Setelah dia yakin dia mampu melihat adiknya tanpa berfikir yang bukan - bukan lagi, dia mengangkat wajah semula lalu menghadiahkan senyuman buat adinda yang cukup dikasihinya. Adindanya tersenyum lalu mengambil tempat duduk yang agak jauh daripadanya seakan - akan cuba mengekalkan batasan antara mereka.

"Kan bagus kalau Qis pakai macam ni selalu. Sejuk hati abang tengok," komen Qalif melihat tudung labuh dan jubah yang dikenakan Qistina. Rasanya baru minggu  lepas dia melihat adiknya mengenakan tudung yang jarang dan baju yang agak menjolok mata. Sudah berbuih mulut mereka menegur Qistina namun seperti biasa, apabila ditegur, dia cuma memekakkan telinga. Hatinya tertanya - tanya mengapa begitu cepat sekali adiknya berubah.

Qistina mencebik. Tudung labuh yang dipakai ditarik sedikit ke depan agar tidak kelihatan terlalu labuh. Segan pula pada orang sekeliling. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu bagaimana rupanya apabila mengenakan fesyen muslimah seperti ini. Setelah berpakaian, dia terus turun tanpa menilik penampilan di cermin terlebih dahulu.

"Tak payah nak tengoklah. Kahwin cepat - cepat, lepas tu tengoklah Kak Zulaikha tu puas - puas. Ada hati nak tengok anak dara orang," balas Qistina sedikit marah.

"Jual mahal. Ok takpe. Nah, umi kirim."

Mata Qistina terbeliak melihat mangkuk tingkat yang dikeluarkan dari bawah kerusi. Ingin saja dileteri abangnya itu namun dia tidak mahu memulakan pergaduhan kerana perkara yang remeh - temeh. Memang sudah begitu sikap lelaki yang satu ini. Pemalu bukan pada tempatnya. Sebaik sahaja ditanya soal Zulaikha, muka Qalif terus berubah menjadi merah padam.

"Hari tu abang dah pergi jumpa family dia. Kenal - kenal. Dorang bagi green light. Masalahnya nak convince umi jelah."

Qistina mengerutkan muka apabila teringatkan riak wajah ibunya apabila diberitahu tentang Zulaikha. Zulaikha, pelajar jurusan undang - undang syariah itu pernah datang ke rumah mereka sekali untuk berkenalan dengan keluarganya bersama beberapa kawan orang kawan perempuan abangnya yang lain. Kalaulah Zulaikha itu seorang yang mengamalkan pergaulan bebas, Qistina dapat menerima jika dia ditolak sebagai calon menantu. Masalahnya, Zulaikha adalah seorang gadis yang wara', yang memang taat perintah agama, yang menjadikan akhiratnya lebih penting daripada dunianya.

"Kenapa umi macam tak suka je? Kak Zulaikha tu dahlah alim, cantik, bijak lagi. Student law pulak tu. And mana nak cari perempuan yang pakai purdah sekarang ni? Takde kan?"

"Tulah. Qis kenalah buat kempen sikit kat umi. Tolong abang ni. Dapat pahala tau bantu orang bina masjid," pujuk Qalif.

"Qis cuba mana yang mampu bang. Kalau umi tak boleh terima jugak, abang kahwin je. Lama - lama mesti dia terima."

Qalif menggeleng.

"Abang tak nak jadi anak derhaka Qis. Biarlah abang berkorban. Lama sikit pun takpe." Qistina tersipu - sipu malu. Dia tahu dia bukannya baik sangat pun tetapi jika diizinkan Allah, dia ingin suaminya nanti seorang yang patuh pada agama dan ibu bapa seperti Qalif.

No comments: